PETALING JAYA: Permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah kekal memberangsangkan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, selari dengan jangkaan peningkatan minat pembelian rumah susulan pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada Julai lalu.
Menurut data yang dikeluarkan oleh BNM, jumlah permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah mencatatkan sedikit penyusutan sebanyak 2.7 peratus bulan ke bulan kepada RM60.8 bilion pada Ogos 2025, selepas lonjakan kukuh sebanyak 19.2 peratus bulan ke bulan pada Julai.
Namun, menurut MIDF Research, secara tahunan, permohonan pinjaman meningkat sebanyak 6.9 peratus berbanding Ogos 2024, menamatkan tiga bulan berturut-turut penurunan tahunan dari Mei hingga Julai.
“Secara kumulatif, jumlah permohonan pinjaman meningkat kepada RM435.2 bilion dalam lapan bulan pertama tahun kewangan 2025 mencatatkan pertumbuhan 1.9 peratus tahun ke tahun, mencerminkan pemulihan minat pembelian hartanah,” katanya dalam nota penyelidikan.
MIDF Research berkata, kadar faedah yang lebih rendah serta pelaksanaan inisiatif seperti BUDI95 yang tidak memberi kesan ketara kepada kemampuan pembeli rumah menjadi antara faktor yang menyokong pertumbuhan sektor ini.
“Namun, jumlah kelulusan pinjaman menunjukkan sedikit kelembapan. Jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah menurun 2.1 peratus bulan ke bulan dan 1.3 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2025, sebahagian besarnya disebabkan kadar kelulusan yang lebih rendah iaitu 45.2 peratus berbanding 48.9 peratus pada Ogos 2024.
“Secara keseluruhan, jumlah pinjaman yang diluluskan dalam lapan bulan pertama 2025 menurun kepada RM188.8 bilion (-1.5 peratus tahun ke tahun), dengan kadar kelulusan keseluruhan berada pada paras 43.4 peratus, sedikit lebih rendah berbanding 44.6 peratus pada 2024,” katanya.
Indeks Hartanah Kuala Lumpur turut mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan kenaikan 4.4 peratus pada September 2025, mengatasi prestasi FBM KLCI yang meningkat 2.3 peratus.
Antara kaunter paling cemerlang dalam indeks ini termasuk KSL Holdings (+98.2 peratus), Plenitude Berhad (+55.3 peratus), dan Symphony Life Berhad (+54.8 peratus).
Secara suku tahunan, KL Property Index meningkat 6.2 peratus dalam suku ketiga 2025, turut mengatasi FBM KLCI (5.2 peratus).
Kenaikan ini dilihat sejajar dengan sentimen positif pasaran terhadap pemotongan OPR, yang mengurangkan kos pinjaman dan menggalakkan pembelian hartanah.
Dari segi penilaian, nisbah harga kepada nilai buku (P/B ratio) bagi indeks ini berada pada 0.66 kali, sejajar dengan purata jangka panjangnya.
Namun, penganalisis menjangkakan terdapat lebih banyak potensi kenaikan, memandangkan penilaian semasa masih dianggap berpatutan dengan latar belakang ekonomi yang menyokong sektor hartanah.
Antara pemaju yang menjadi tumpuan termasuk Mah Sing Group, yang mengekalkan prospek stabil dengan pelancaran projek perumahan mampu milik.
Mah Sing berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan baharu sebanyak RM2.65 bilion bagi tahun kewangan 2025, disokong juga oleh pendapatan berulang daripada usaha sama pusat data.
Sementara itu, Matrix Concepts kekal optimistik dengan pelancaran projek di MVV City yang dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan pendapatan seterusnya.
Syarikat ini mensasarkan jualan baharu sebanyak RM1.6 bilion bagi tahun kewangan 2026, dipacu oleh permintaan kukuh untuk rumah bertanah di Negeri Sembilan. – UTUSAN