PETALING JAYA:Prestasi perdagangan Malaysia kembali meningkat pada September 2025, dengan jumlah perdagangan melonjak 9.8 peratus kepada RM257.5 bilion berbanding RM234.4 bilion pada September 2024.
Peningkatan ini didorong khususnya oleh pertumbuhan eksport Malaysia berikutan naik 12.2 peratus kepada RM138.7 bilion pada September 2025, manakala import meningkat 7.3 peratus kepada RM118.8 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia meningkat pada September 2025 seiring dengan kenaikan eksport semula dan eksport domestik.
“Eksport semula merangkumi 24.9 peratus daripada jumlah eksport dan melonjak 46.1 peratus tahun ke tahun kepada RM34.5 bilion, manakala eksport domestik menyumbang 75.1 peratus dan meningkat kepada RM104.2 bilion.
“Lebihan dagangan pula melonjak 54.7 peratus kepada RM19.9 bilion, mencatatkan lebihan dagangan 65 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Berbanding Ogos lalu, eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan peningkatan 5.6 peratus, 2.9 peratus, 4.3 peratus dan 25.3 peratus.
“Mengikut pecahan kumpulan barangan, sebanyak 142 daripada 260 kumpulan eksport dan 135 daripada 256 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.
Peningkatan eksport didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan ke Singapura dengan RM5.1 bilion, diikuti Amerika Syarikat (RM3.9 bilion), Kesatuan Eropah (RM2.0 bilion), Mexico (RM1.4 bilion), Viet Nam (RM1.0 bilion), India (RM1.0 bilion) dan Thailand (RM643.6 juta).
Sementara itu, peningkatan import pula disumbangkan oleh kemasukan barangan yang lebih kukuh dari China dengan RM9.9 bilion, diikuti Taiwan (RM4.1 bilion), Oman (RM1.9 bilion), Emiriah Arab Bersatu (RM1.5 bilion), Viet Nam (RM728.8 juta), Australia (RM585.9 juta) dan Persekutuan Rusia (RM272.0 juta).
“Kenaikan tersebut sebahagian besar disumbangkan oleh penghantaran yang lebih tinggi bagi barangan elektrik dan elektronik iaitu RM10.6 bilion, bijih logam dan serpihan logam (RM988.8 juta), jentera, kelengkapan dan peralatan (RM813.9 juta) keluaran perkilangan lain (RM809.8 juta), barangan optik dan saintifik (RM809 juta), serta barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (RM768.5 juta),” katanya.
Kenaikan import pada September 2025 dipacu oleh peningkatan kemasukan barangan elektrik dan elektronik sebanyak RM4.9 bilion, petroleum mentah (RM1.8 bilion), serta jentera dan kelengkapan peralatan (RM973 juta)
Import barangan modal naik 9.3 peratus kepada RM18.5 bilion, manakala barangan penggunaan meningkat 5.1 peratus kepada RM9.3 bilion namun, import barangan perantaraan menurun 7.6 peratus kepada RM54.2 bilion.
Jumlah dagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2025 mencecah RM2.2 trilion, mencatatkan peningkatan 4.4 peratus.
Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi eksport yang lebih kukuh dengan 4.8 peratus dan kenaikan import 4.0 peratus.
Lebihan dagangan turut berkembang, meningkat 13.6 peratus kepada RM105.7 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2024.
Prestasi ekonomi bagi suku tahun ketiga 2025 menunjukkan peningkatan dalam jumlah dagangan, eksport dan lebihan dagangan berbanding tempoh yang sama tahun lalu. -UTUSAN