PETALING JAYA: Pengecualian tarif bagi produk terpilih termasuk minyak sawit dalam Perjanjian Tarif Malaysia-Amerika Syarikat (AS) dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan eksport negara serta memperkukuh hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Belvinder Sron berkata, langkah itu menunjukkan keyakinan berterusan terhadap kualiti dan daya saing minyak sawit Malaysia di pasaran global.
“Eksport kami ke AS mencatat pertumbuhan kukuh dalam tempoh dua tahun lalu, dan langkah ini akan memperkukuh daya saing Malaysia dalam pasaran bernilai tinggi yang berkembang pesat.
“Kerjasama perdagangan yang lebih mendalam dengan AS akan memberi manfaat kepada pemain industri dan ekonomi Malaysia, khususnya melalui pengembangan sektor hiliran dan integrasi teknologi,” katanya dalam kenyataan.
Dari Januari hingga September 2025, eksport minyak sawit dan produk sawit tempatan meningkat sebanyak 8.1 peratus kepada 346,000 tan metrik, berbanding 320,000 tan metrik dalam tempoh yang sama pada 2024.
Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh minyak sawit bertauliah, dengan penghantaran meningkat daripada 75,000 kepada 98,000 tan metrik.
Beliau berkata, minyak sawit bertauliah dan minyak isirong sawit kini merangkumi 79 peratus daripada eksport Malaysia ke AS dan digunakan dalam industri bernilai tinggi.
“Ia seperti bahan ramuan makanan khas dan produk penjagaan diri, di mana pilihan pengganti adalah terhad, sekali gus menunjukkan peranan minyak sawit Malaysia yang semakin berkembang dalam rantaian bekalan AS.
“Bagi menyokong momentum ini, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0) dan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS) memperkukuh keupayaan Malaysia untuk memenuhi keperluan ketat pembeli di pasaran utama seperti AS.
“Inisiatif ini meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan rantaian bekalan, memastikan integrasi lancar dalam rangkaian antarabangsa serta meletakkan pengeksport Malaysia pada kedudukan lebih kukuh dalam segmen pasaran bernilai tambah dan premium,” ujarnya.
Belvinder berkata, walaupun keputusan perdagangan dengan AS amat menggalakkan, MPOC menegaskan Malaysia akan terus memperluaskan portfolio pasaran bagi menyokong ketahanan perdagangan jangka panjang.
“Sub-Sahara Afrika (SSA), Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), serta ASEAN kekal sebagai wilayah tumpuan utama, disokong oleh peningkatan permintaan terhadap minyak boleh dimakan dan produk berasaskan sawit hiliran.
“Strategi kepelbagaian pasaran kekal sebagai keutamaan utama bagi memastikan kejayaan berterusan minyak sawit Malaysia di peringkat global,” katanya. – UTUSAN










