PETALING JAYA: Pelabur asing kembali menjadi penjual bersih di Bursa Malaysia dengan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.44 bilion pada minggu lalu.
MBSB Research berkata, angka tersebut merupakan aliran keluar yang paling besar dalam seminggu sejak kali terakhir dicatatkan pada minggu terakhir Ogos 2025.
Katanya, kumpulan pelabur itu merupakan penjual bersih setiap hari dagangan dengan Jumaat paling tinggi iaitu RM327.0 juta, diikuti Rabu (RM307.8 juta), Isnin (RM288.7 juta) dan Selasa (RM281.7 juta).
“Sementara itu, Khamis mencatatkan jualan paling rendah sebanyak RM237.9 juta,” katanya dalam Laporan Aliran Dana minggu berakhir 10 Oktober 2025.
MBSB Research berkata, hanya satu sektor jelas menyaksikan aliran masuk bersih asing pada minggu lalu iaitu teknologi dengan RM85.7 juta.
“Tiga sektor utama namun mengalami aliran keluar bersih asing tertinggi iaitu perkhidmatan kewangan (RM491.7 juta), penjagaan kesihatan (RM171.2 juta) dan hartanah (RM145.5 juta),” katanya.
Firma penyelidikan tersebut berkata, institusi tempatan menukar rentak semula kepada aliran belian bersih dengan RM1.49 bilion iaitu tertinggi dicatatkan sejak April 2025.
Bagaimanapun, MBSB Research berkata, pada masa sama, pelabur runcit tempatan mengekalkan jualan bersih selama lima minggu, apabila mencatat jumlah aliran keluar sebanyak RM50.6 juta.
Purata jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat penyusutan luas pada minggu lalu dengan peruncit tempatan dan pelabur asing merekodkan penurunan masing-masing 3.9 peratus dan 1.6 peratus manakala institusi tempatan meningkat 6.3 peratus. – UTUSAN