Pasaran hartanah tunjuk tanda pemulihan kukuh

Pasaran hartanah tunjuk tanda pemulihan kukuh

KETUA Perisikan Hartanah, Kumpulan PropertyGuru, Dr. Lee Nai Jia ” katanya ketika menyampaikan pembentangan mengenai Tinjauan mendalam kecerdasan pasaran PropertyGuru: Mengupas tingkah laku pembeli di sempena Sidang Future Built 2025 oleh PropertyGuru dan iProperty Malaysia di sini. UTUSAN/ SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Pasaran hartanah tempatan menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang kukuh selepas tempoh ketidaktentuan ekonomi global dan tekanan kadar faedah yang tinggi pada separuh pertama tahun ini.

Ketua Perisikan Hartanah, Kumpulan PropertyGuru, Dr. Lee Nai Jia berkata, pemulihan tersebut didorong oleh dasar proaktif kerajaan, penurunan kadar dasar semalaman serta peningkatan minat pelabur asing khususnya dari Singapura.

“Permintaan terhadap hartanah kediaman dan komersial semakin meningkat, dengan projek baharu di kawasan tumpuan seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang menerima sambutan menggalakkan.

“Pihak pemaju turut melaporkan peningkatan kadar pengambilan unit, didorong oleh keyakinan pengguna yang kembali pulih,” katanya ketika menyampaikan pembentangan mengenai Tinjauan mendalam kecerdasan pasaran PropertyGuru: Mengupas tingkah laku pembeli di sempena Sidang Future Built 2025 oleh PropertyGuru dan iProperty Malaysia di sini.

Julai lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas, menjadikan jumlah keseluruhan penurunan kepada 75 mata asas sepanjang tahun.

Langkah ini berjaya merangsang keyakinan pasaran dan menyokong pertumbuhan sektor hartanah.

Dalam masa sama, Belanjawan 2026 yang diumumkan kerajaan mengekalkan fokus terhadap kemampuan milik dan mobiliti sosial.

Nai Jia berkata, antara langkah utama termasuk perluasan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama serta lanjutan insentif bagi perjanjian pinjaman dan instrumen pindah milik.

“Kerajaan memainkan peranan penting dalam mengurangkan ketidaktentuan pasaran melalui potongan kadar faedah, subsidi serta inisiatif perumahan mampu milik,” katanya.

Selain itu, walaupun Johor mencatat sedikit penyusutan minat berikutan kenaikan levi pembelian asing daripada dua peratus kepada tiga peratus untuk hartanah melebihi RM300,000 negeri itu kekal menarik di mata pelabur luar negara.

“Pembeli dari Singapura masih menjadikan Johor Bahru sebagai destinasi utama kerana harga yang jauh lebih rendah berbanding pasaran domestik mereka,” katanya.

Sementara itu, jelasnya, Selangor dan Kuala Lumpur terus menunjukkan pertumbuhan kukuh, terutama di kawasan yang dihubungkan dengan sambungan Laluan Transit Aliran Massa (MRT) dan stesen transit aliran ringan (LRT).

“Permintaan tinggi datang daripada kumpulan profesional muda yang kini kembali bekerja di pejabat selepas trend kerja dari rumah semakin berkurangan,” katanya.

Nia Jia berkata, corak kehidupan pasca pandemik telah mengubah keutamaan pembeli rumah.

Katanya, kini rumah bukan lagi semata-mata aset kewangan, tetapi sebagai ruang keseimbangan hidup dan kesejahteraan keluarga.

Dalam masa sama, penuaan populasi Malaysia dengan peningkatan penduduk berusia 65 tahun ke atas di daerah seperti Temerloh, Jerantut dan Klang mewujudkan keperluan baharu terhadap projek perumahan mesra warga emas dan berbilang generasi.

“Pembangunan bandar masa depan perlu menitikberatkan akses mudah ke kemudahan kesihatan dan kawasan yang boleh dicapai dengan berjalan kaki,” katanya.

Dua kumpulan utama pembeli dari Singapura dikenal pasti iaitu keluarga muda yang menghantar anak ke sekolah antarabangsa di Johor Bahru dan golongan pesara yang memanfaatkan kadar tukaran ringgit yang lebih menguntungkan.

Selain itu, kawasan pelancongan seperti Langkawi turut mencatat peningkatan pelaburan hartanah berorientasikan gaya hidup dan pelancongan.

Menjelang 2026, pemaju dijangka memberi tumpuan kepada projek pembangunan mampan dan tahan terhadap perubahan iklim.

Katanya, risiko cuaca ekstrem seperti banjir dan suhu tinggi akan mempengaruhi reka bentuk bangunan serta permintaan terhadap hartanah cekap tenaga dan mesra alam.

“Pasaran akan bergerak ke arah pembangunan berorientasikan transit dan hartanah tahan iklim. Pembeli kini lebih bijak, lebih berhati-hati dan hanya mempercayai pemaju yang mempunyai reputasi kukuh,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN