PETALING JAYA:Peningkatan nisbah hutang isi rumah kepada 84.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) didorong oleh pertumbuhan pinjaman perumahan, penggunaan kredit untuk perbelanjaan pengguna serta akses yang lebih mudah kepada produk kewangan.
Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, walaupun paras itu tinggi berbanding purata serantau, tahap hutang isi rumah di Malaysia masih berada dalam lingkungan sihat kerana kualiti pinjaman kekal stabil dan nisbah pembayaran hutang terhadap pendapatan (DTI) masih terkawal.
“Peningkatan hutang isi rumah mencerminkan campuran antara keyakinan terhadap prospek ekonomi dan tekanan kos sara hidup yang meningkat.
“Walaupun keupayaan peminjam secara keseluruhan kekal kukuh, sebahagian isi rumah mula mengalami beban kewangan yang lebih berat, khususnya golongan berpendapatan sederhana dan rendah akibat inflasi serta kenaikan kadar faedah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, kadar faedah yang tinggi meningkatkan kos perkhidmatan hutang, manakala inflasi berterusan mengurangkan kuasa beli isi rumah, menyebabkan tekanan terhadap aliran tunai bulanan.
“Walaupun inflasi kini mula melambat, kesan kumulatif kedua-dua faktor ini menjejaskan keupayaan sesetengah isi rumah untuk memenuhi komitmen hutang tanpa mengorbankan perbelanjaan asas,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dasar monetari Bank Negara Malaysia (BNM) turut memainkan peranan penting dalam membentuk trend hutang isi rumah.
“Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) bertujuan mengekang inflasi tetapi secara tidak langsung meningkatkan bayaran ansuran pinjaman.
“Sebaliknya, kadar yang rendah sebelum ini mendorong pengambilan hutang baharu. Ini menunjukkan betapa sensitifnya tingkah laku peminjam terhadap perubahan dasar monetari,” katanya.
Bagi memastikan paras hutang kekal mampan dalam jangka panjang, Idham menyarankan supaya langkah dasar diperkukuh melalui rangka kerja perlindungan pengguna kewangan yang lebih komprehensif, penguatkuasaan garis panduan pinjaman yang berhemat serta pelaksanaan pendidikan kewangan di peringkat sekolah dan kempen kesedaran awam.
“Langkah-langkah ini penting bagi meningkatkan literasi kewangan rakyat, memupuk budaya perbelanjaan bijak dan mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan isi rumah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sedikit kepada 84.8 peratus, namun keupayaan peminjam untuk memenuhi komitmen hutang kekal utuh.
Hal ini menurut BNM adalah didorong oleh dasar pemberian pinjaman yang berhemah oleh institusi kewangan dan pemulihan berterusan dalam pendapatan isi rumah.
Penunjuk utama keupayaan pembayaran balik hutang kekal positif, dengan median nisbah khidmat hutang (DSR) mencatatkan 41 peratus bagi pinjaman baharu dan 33 peratus bagi keseluruhan pinjaman sedia ada. -UTUSAN