PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Bhd. (Northport), ahli Kumpulan MMC mencatat jumlah pengendalian keseluruhan sebanyak 1,33 juta FWT (Freight Weight Tonnes) pada September 2025, mengatasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu sebanyak 1,28 juta FWT yang dicatat pada Oktober 2024.
Prestasi cemerlang tersebut didorong oleh pertumbuhan kukuh merentasi semua segmen kargo.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Nik Muzani Nik Abdul Aziz berkata, pencapaian terbaharu itu menyerlahkan kekukuhan operasi dan kedudukan strategik syarikat dalam ekosistem maritim Malaysia.
“Pencapaian rekod baharu ini mencerminkan kepercayaan pelanggan terhadap kami, dedikasi warga kerja Northport serta keberkesanan inisiatif penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan.
“Walaupun berdepan cabaran berterusan dalam rantaian bekalan global, pasukan kami sekali lagi membuktikan ketahanan dan kecemerlangan dalam pengendalian kargo konvensional,” katanya dalam kenyataan.
Segmen kargo pukal am (break bulk) telah mencatat 375,169 FWT pada September 2025, peningkatan sebanyak 18.6 peratus berbanding September 2024 dengan kargo besi dan keluli menyumbang jumlah tertinggi sebanyak 289,629 FWT.
Sementara itu, segmen kargo pukal cecair (liquid bulk) mencatat 399,086 FWT pada September 2025, peningkatan 27.3 peratus berbanding September 2024, didorong terutamanya oleh peningkatan pengendalian kargo bahan kimia sebanyak 220,147 FWT.
Bagi segmen kargo pukal kering (dry bulk) pula mencatat 439,003 FWT pada September 2025, peningkatan sebanyak 38.7 peratus berbanding September 2024, dengan kargo bijirin jagung menyumbang jumlah tertinggi sebanyak 122,223 FWT.
Segmen roll-on roll-off (RoRo) turut menunjukkan pertumbuhan positif dengan pengendalian 114,625 FWT pada September 2025, peningkatan 23.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Bagi tempoh Januari hingga September 2025, pengendalian kargo konvensional Northport berjumlah 9.60 juta FWT iaitu peningkatan 4.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Untuk rekod, Northport telah mengendalikan sejumlah 12.69 juta FWT kargo konvensional pada 2024, iaitu jumlah tahunan tertinggi sejak penubuhan Northport pada 2001. – UTUSAN