PETALING JAYA: Nestlé Malaysia mencatatkan untung bersih berjumlah RM114 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, lebih tinggi berbanding RM85.4 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Sejajar dengan prestasi itu, Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 60 sen sesaham.
Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) syarikat pula mencecah RM178 juta, manakala perolehan RM1.76 bilion bagi tempoh itu, berbanding RM1.45 bilion pada suku tahun yang sama tahun lepas, dipacu oleh jualan domestik yang lebih tinggi.
Jualan eksport mencatatkan pertumbuhan dua angka, sekali lagi memperlihatkan kekuatan daya saing global pengeluaran perindustrian Nestlé Malaysia.
Ini memandangkan syarikat telah mengunjurkan permintaan yang semakin bertambah daripada pasaran antarabangsa bagi portfolio produknya yang 100 peratus halal dan dengan bangganya dibuat di Malaysia oleh tenaga kerja tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, prestasi syarikat sehingga suku ketiga membuktikan strategi komersial dan keupayaan pengedaran mereka sememangnya relevan dan rakyat Malaysia terus meyakini jenama itu.
“Kami terus komited sepenuhnya untuk memenuhi kepercayaan dan jangkaan tinggi rakyat Malaysia bagi kualiti, cita rasa dan khasiat pemakanan.
“Ini juga seiring komitmen kami untuk menyantuni komuniti menerusi himpunan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang paling komprehensif.
“Setelah bertapak lebih daripada 112 tahun di Malaysia, jenama kami benar-benar menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia dan kami berusaha gigih terus mendapatkan keyakinan mereka, memastikan produk mudah didapati serta kekal relevan kepada generasi pengguna baharu,” katanya dalam kenyataan.
Peranan strategik Nestlé Malaysia sebagai hab pengeluaran halal terbesar Kumpulan Nestlé dan menjadi asas bagi inovasi di peringkat global terus membuka peluang baharu, menyokong pertumbuhan masa depan dan penciptaan pekerjaan tempatan.
Sebagai contohnya ialah pemilihan kilang Sri Muda Nestlé di Shah Alam sebagai tapak pengeluaran utama di Asia bagi NESCAFÉ Espresso Concentrate, salah satu daripada inovasi strategik penting bagi Kumpulan Nestlé di seluruh dunia.
Aranols berkata, sepanjang suku ketiga, Nestlé Malaysia terus mencapai kemajuan dalam agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan inisiatif sokongan kemasyarakatan.
“Syarikat berbangga untuk menyokong usaha kerajaan meningkatkan pengiktirafan antarabangsa bagi Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sejajar dengan komitmen syarikat terhadap ESG dan sebagai ahli pengasas Perikatan Impak MSPO,” ujarnya. – UTUSAN









