KUALA LUMPUR: Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO Malaysia) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan ekosistem aeroangkasa negara melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang menumpukan kepada pembangunan bakat, penerapan teknologi baharu, serta pengukuhan rantaian bekalan tempatan bagi memastikan daya saing industri kekal mampan dan berimpak tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts. Shamsul Kamar Abu Samah berkata, industri aeroangkasa negara kini menunjukkan momentum positif selepas pandemik Covid-19 apabila berjaya mencatat nilai industri sebanyak RM25.1 bilion pada tahun lalu, meningkat 116 peratus berbanding tahun 2020.
Katanya, pemulihan ini didorong oleh kejayaan pemain industri tempatan memperoleh kontrak baharu bernilai lebih RM650 juta dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini hasil promosi di dalam dan luar negara.
“Pencapaian tersebut membuktikan daya tahan sektor aeroangkasa Malaysia yang terus berkembang walaupun pernah terjejas teruk akibat pandemik.
“Industri aeroangkasa bukan sahaja dapat dipulihkan, malah terus mengekalkan pertumbuhan yang mampan hasil kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi akademik,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Aeroangkasa Selangor (SAS) 2025 di sini, semalam. SAS 2025 adalah salah satu daripada program di dalam Selangor International Business Summit (SIBS) 2025.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara cabaran utama yang dihadapi ialah kekurangan tenaga mahir selepas ramai pekerja beralih ke sektor lain ketika pandemik.
“Justeru, NAICO Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu bersaing dalam industri berteknologi tinggi,” katanya.
Menurut beliau, penubuhan MyAERO Centre di bawah NAICO Malaysia menjadi pemangkin kepada transformasi digital industri menerusi pembangunan makmal kejuruteraan reka bentuk, yang menjadi asas kepada keupayaan lain seperti reverse engineering, serta pelaksanaan MyAERO Digital, sebuah platform digital utama yang menyelaras data, kolaborasi dan pembangunan keupayaan syarikat-syarikat aeroangkasa tempatan.
“Kita mahu melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan yang mampu terlibat dalam aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk, pembuatan dan penyelenggaraan berteknologi canggih. Malah, pusat ini juga menyediakan makmal bagi Pengujian Bukan Pemusnah atau Non-Destructive Testing (NDT), metrologi dan pencetakan 3D,” jelasnya.
Tambahnya, NAICO turut bekerjasama dengan universiti tempatan termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) bagi memperkukuh program latihan dan penyelidikan, dengan penubuhan makmal bersekutu pertama MyAERO Centre yang dijangka beroperasi pada suku pertama tahun depan.
“Langkah ini sejajar dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menekankan aktiviti berasaskan nilai tambah dan pertumbuhan tinggi.
“NAICO juga sedang melaksanakan program pembangunan rantaian bekalan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan meningkatkan keupayaan teknikal,” katanya.
Secara keseluruhan, sebanyak empat Memorandum Persefahaman (MoU) dan tiga Surat Hasrat (LoI) telah dimeterai oleh NAICO Malaysia di SAS 2025.
MoU tersebut ditandatangani bersama ZRST Training Sdn. Bhd., Admal Aviation College dan APR Aviation Training Centre, manakala LoI dimeterai bersama UiTM, diikuti oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (CILTM). – UTUSAN