MBSB Bank lancar segmen akaun gaji WorksForMe - Utusan Malaysia

MBSB Bank lancar segmen akaun gaji WorksForMe

NAZZI Beck (tiga dari kiri) dan Usman Ghouse (tengah) bersama Ahli Kumpulan MBSB Group selepas persembahan flashmob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MBSB Bank melancarkan segmen akaun gaji terbaharu mereka, WorksForMe, yang direka khas untuk semua yang menjana pendapatan tidak kira bekerja sendiri, pekerja gig atau bergaji tetap.

Ketua Saluran Pengedaran Cawangan MBSB Bank, Nazzi Beck berkata, pihaknya komited dalam menyediakan perkhidmatan perbankan Islam yang inklusif, dinamik dan menepati keperluan setiap individu.

“Pemilik akaun yang memasukkan RM1,500 atau lebih setiap bulan ke dalam akaun ini akan menikmati pelbagai keistimewaan yang relevan dan praktikal.

“Ini termasuk kadar keutamaan serendah 3.95 peratus setahun bagi pembiayaan rumah dan peribadi serta 2.88 peratus setahun bagi pembiayaan kenderaan Proton dan Perodua,” katanya dalam Majlis Pelancaran WorksForMe di sini semalam.

Menurutnya, WorksForMe dicipta untuk membantu pelanggan menikmati manfaat sebenar daripada hasil titik peluh mereka.

“Kempen ini bukan soal nasib semata-mata, tetapi tentang disiplin dan konsistensi dalam menyimpan. Setiap ringgit yang disimpan membina asas kewangan yang lebih kukuh,” katanya.

Pelanggan boleh menikmati pengeluaran mesin pengeluaran automatik (ATM) antara bank tanpa caj, yuran tahunan kad debit dikecualikan dan caj jualan unit amanah serendah satu peratus.

Melalui platform digital MBSB Bank, MJourney, pelanggan boleh mengurus akaun, membuat pindahan dana serta bayaran dengan mudah dan selamat.

MBSB Bank turut memperkenalkan perkhidmatan Pemindahan Mudah Global (GET) iaitu sistem pindahan wang antarabangsa pantas, telus dan berpatutan.

Sementara itu, MBSB Bank turut meraikan para pemenang kempen Simpan Berganda Menang Bergaya (SBMB) 4.0, yang bertujuan menggalakkan tabiat menabung secara konsisten.

Kempen yang berlangsung sejak April hingga September lalu menyaksikan sembilan pemenang bertuah membawa pulang hadiah bernilai tinggi, termasuk Proton e.MAS 7, pakej ubah suai rumah bernilai RM350,000, dan percutian mewah ke Scandinavia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN