PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) menerima pengiktirafan pada Anugerah Pemaju Malaysia (MDA) 2025, satu anugerah berprestij dalam industri yang dianjurkan bersama oleh FIABCI-Malaysia dan Star Media Group.
Pengiktirafan itu mencerminkan prestasi konsisten kumpulan, strategi masa depan yang progresif, serta komitmen teguh dalam menyampaikan kecemerlangan dan nilai mampan kepada para pemegang taruhnya.
Matrix Concepts telah dinamakan antara 10 pemaju teratas dalam kategori Top-of-The-Chart (Modal Pasaran RM1 bilion dan ke atas), satu pencapaian yang menyerlahkan rekod prestasi kukuh kumpulan dalam aspek kewangan, inovasi serta pembangunan yang berfokus kepada komuniti.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts, Kelvin Lee berkata, pihaknya berasa amat berbesar hati diiktiraf sebagai antara pemaju terbaik di Malaysia dalam Anugerah Pemaju Hartanah Malaysia 2025.
“Pencapaian ini merupakan bukti kepada dedikasi kakitangan kami, rakan kongsi dan komuniti yang menjadi tonggak utama dalam perjalanan kami. Seiring dengan pertumbuhan kami, Matrix tetap komited dalam membentuk ekosistem yang mampan, inklusif dan berkembang maju melangkaui pembangunan hartanah semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
MDA merupakan platform pengiktirafan tahunan yang meraikan pemaju hartanah terkemuka negara atas kecemerlangan, inovasi dan sumbangan mereka kepada sektor hartanah nasional.
Kategori teratas carta khususnya menonjolkan syarikat-syarikat yang memiliki modal pasaran besar dan telah menunjukkan prestasi serta kepimpinan yang mantap dalam industri.
Pengiktirafan ini terus mengukuhkan kedudukan Matrix Concepts sebagai pemaju yang dipercayai dan dihormati.
Dengan projek-projek utama seperti Bandar Sri Sendayan, Bandar Seri Impian, MVV City serta pembangunan penting di Lembah Klang, kumpulan ini terus membentuk pembangunan bersepadu yang memperkayakan kehidupan dan memacu kemajuan mampan.
Merealisasikan visi tersebut, Matrix Concepts bersama Golog Holdings Sdn. Bhd. baru-baru ini memulakan pembangunan Taman Perindustrian Hab Berkembar Laluan Sutera Udara China-Malaysia seluas 618 ekar di MVV TechValley, MVV City.
Kemunculan Cold Storage sebagai penyewa utama di Sendayan Merchant Square, serta usaha sama Kumpulan dengan Alpro Pharmacy dan Mercy Convalescent and Nursing Homes (Mercy Home) untuk membangunkan rumah penjagaan moden di Suria Heights, Bandar Sri Sendayan, mencerminkan komitmen berterusan Matrix Concepts dalam meningkatkan kemudahan gaya hidup dan kesejahteraan komuniti di bandar-bandar terancangnya.
Melonjakkan lagi momentum ini, Matrix Concepts turut meraikan satu lagi pencapaian cemerlang melalui Resort Villa Fasa 2 yang berjaya memperoleh skor 89 peratus dalam sistem penilaian kualiti pembinaan CIDB QLASSIC, mengatasi skor 88 peratus yang dicapai oleh Resort Villa Fasa 1 sebelum ini.
Kejayaan luar biasa ini menetapkan penanda aras baharu bagi kualiti pembangunan rumah bertanah di seluruh negara, sekali gus mengukuhkan komitmen kumpulan terhadap kecemerlangan, inovasi dan kepercayaan dalam setiap projek yang dijalankan.
habis/