PETALING JAYA: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad menandatangani Perjanjian Penyewaan (TA) bersama Cold Storage, jenama runcit tertua Singapura dan salah satu pasar raya premium terkemuka di Malaysia untuk membuka cawangan di Sendayan Merchant Square, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Bahagian Pembangunan Hartanah, Matrix Concepts Holdings Berhad, Chai Keng Wai berkata, kerjasama syarikat dengan Cold Storage untuk membawa kemudahan setempat.
“Cold Storage adalah nama yang dipercayai dalam kalangan isi rumah, sinonim dengan kesegaran, kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan.
“Kehadiran mereka di sini bukan sahaja akan meningkatkan standard runcit di Bandar Sri Sendayan, malah akan menjadi kemudahan gaya hidup penting yang menyokong pertumbuhan populasi di Bandar Seri Sendayan dan MVV City.
“Kerjasama ini dengan sempurna mencerminkan tema hari ini iaitu gaya hidup segar bermula di sini.Ia mencerminkan falsafah bersama antara Matrix Concepts dan Cold Storage untuk mencipta persekitaran dan pengalaman yang memperkayakan kehidupan harian,” katanya dalam kenyataan.
Hab Komersial yang akan datang di Sendayan Merchant Square sebuah destinasi baharu yang penuh warna dan kehidupan, diinspirasikan oleh Konsep Perkampungan Modular.
Berteraskan mewujudkan tempat yang selesa, hab ini direka untuk menggalakkan penerokaan, interaksi dan hubungan komuniti.
Dengan keluasan boleh disewa sekitar 105,000 kaki persegi, hab ini merangkumi blok-blok makanan dan minuman (F&B) dengan reka bentuk fasad yang ‘Instagrammable’ dan susun atur yang terancang, kedai bertema, serta plaza berbumbung di tengah sebagai lokasi hujung minggu.
Tarikan utamanya adalah Cold Storage berdiri sendiri seluas 24,000 kaki persegi dibina khusus sebagai penyewa utama yang membawa kemudahan serta nilai tambah kepada komuniti setempat.
Sendayan Merchant Square turut menampilkan pelbagai jenama F&B terkenal yang akan diumumkan tidak lama lagi dan bakal membuat kemunculan sulung mereka di Negeri Sembilan.
Lebih daripada sekadar reka bentuk, Sendayan Merchant Square berfungsi sebagai hab gaya hidup utama dalam bandar ini menyatukan elemen runcit, makanan, rekreasi dan hiburan keluarga, berhampiran mercu tanda seperti d’Tempat Country Club, Sekolah Adcote Matrix Malaysia dan X-Park.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Matrix Concepts menjalinkan beberapa kerjasama berimpak tinggi antaranya dengan Golog Holdings untuk membangunkan Taman Perindustrian Hab Berganda Laluan Sutera Udara China–Malaysia seluas 618 ekar di MVV TechValley, serta usaha sama bersama Kumpulan Alpro dan Mercy Home untuk pembangunan rumah penjagaan moden di Suria Heights, Bandar Sri Sendayan.
Ini merupakan satu kerjasama yang menyerlahkan komitmen kami terhadap pemerkasaan ekonomi sambil membina komuniti yang sejahtera.
Sejak diperkenalkan pada 2004, Bandar Sri Sendayan berkembang daripada satu visi berani kepada salah satu bandar terancang paling berjaya di Negeri Sembilan.
Menerokai lebih 6,800 ekar dan menempatkan kira-kira 120,000 penduduk, bandar ini menggabungkan kediaman berkualiti, komuniti yang berkembang pesat, dan peluang perniagaan yang dinamik dalam rangka kerja mampan.
Dengan kedudukan strategik melalui sambungan ke Lebuhraya Utara–Selatan, Lebuhraya Seremban–Port Dickson, Jaringan KLIA, serta cadangan Lebuhraya Senawang–KLIA, Bandar Sri Sendayan terus menarik minat keluarga, pelabur dan perniagaan yang mencari kemudahan serta potensi pertumbuhan.-UTUSAN