MELANCONG dalam negara bukan sahaja pilihan yang baik dari segi kewangan, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi, memperluas peluang pekerjaan dan memupuk semangat cintakan warisan tempatan.
Usaha tersebut disokong oleh Belanjawan 2026 yang menyediakan pelbagai insentif kepada rakyat serta penggiat industri bagi merancakkan lagi sektor pelancongan dalam negara.
Minggu ini, Ringgit berkongsi manfaat melancong dalam negara kepada pembaca supaya membantu membuat rancangan destinasi pelancongan terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Merangsang ekonomi tempatan
Pelancongan domestik meningkatkan aliran perbelanjaan dalam negara apabila rakyat membelanjakan wang mereka di bandar dan kawasan pelancongan tempatan.
Ia memberi manfaat langsung kepada peniaga kecil, pengusaha inap desa, restoran, pengangkutan tempatan dan sektor perkhidmatan lain.
Apabila wang kekal beredar dalam negara, ekonomi domestik menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan terhadap ketidaktentuan global.
- Menjana peluang pekerjaan
Pertumbuhan pelancongan dalam negara mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk hospitaliti, pengangkutan, logistik, pemandu pelancong serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Industri ini juga memberi ruang kepada komuniti luar bandar menjana pendapatan tambahan melalui ekopelancongan dan aktiviti berasaskan komuniti.
- Menggalakkan pembangunan seimbang wilayah
Apabila rakyat mengunjungi destinasi di seluruh negeri, kegiatan ekonomi tidak lagi tertumpu di kawasan bandar utama semata-mata.
Ini membantu merancakkan pembangunan di kawasan luar bandar melalui pembinaan infrastruktur, peningkatan kemudahan awam dan penciptaan peluang perniagaan baharu.
Ini sekali gus menyokong hasrat kerajaan untuk memperkecilkan jurang ekonomi antara wilayah.
- Memberi manfaat kewangan kepada pelancong
Melancong dalam negara jauh lebih menjimatkan berbanding ke luar negara kerana tidak melibatkan kos penerbangan antarabangsa, kadar tukaran mata wang asing atau perbelanjaan tinggi untuk insurans perjalanan.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan potongan cukai bagi rakyat yang bercuti dalam negara, menjadikan aktiviti pelancongan tempatan bukan sahaja lebih mampu milik tetapi juga menguntungkan dari segi fiskal individu.
- Lebih mudah, selamat dan fleksibel
Perjalanan dalam negara menawarkan kemudahan yang lebih besar seperti tiada keperluan visa, kawalan ketat di lapangan terbang atau risiko tinggi akibat ketidaktentuan geopolitik luar negara.
Pelancong juga boleh merancang perjalanan dengan lebih fleksibel, sama ada percutian singkat hujung minggu atau percutian panjang bersama keluarga.
- Menyokong kelestarian alam dan ekonomi hijau
Kegiatan pelancongan dalam negara menggalakkan masyarakat menghargai alam sekitar serta menyokong inisiatif ekopelancongan.
Ia juga memupuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan pelancong untuk menjaga kebersihan dan kelestarian destinasi pelancongan agar manfaatnya dapat dikongsi generasi akan datang. – UTUSAN










