PETALING JAYA:Malaysia dan Singapura akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan penuh bagi pembangunan sambungan elektrik kedua antara Semenanjung Malaysia dan republik itu yang berpotensi mempunyai kapasiti sehingga 2,000 megawatt (MW).
Langkah tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama tenaga dua hala serta meningkatkan kapasiti perdagangan elektrik rentas sempadan menjelang 2030.
Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) bagi kajian itu dimeterai hari ini antara Tenaga Nasional Berhad (TNB), SP Group dan Singapore Energy Interconnections (SGEI) bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) di ibu negara.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, inisiatif itu sejajar dengan usaha memperkukuh kerjasama tenaga serantau di bawah Grid Kuasa ASEAN (APG).
“Kajian kebolehlaksanaan ini merupakan langkah penting ke arah memperluaskan perdagangan elektrik rentas sempadan.
“Ia bukan sahaja memperkukuh keterjaminan tenaga, malah menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dengan membolehkan integrasi tenaga boleh diperbaharui yang lebih meluas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SGEI, Ong Teng Koon berkata, mereka berbesar hati dapat bekerjasama dengan TNB dan SP Group dalam memperkukuh hubungan tenaga dua hala serta memperluas perdagangan elektrik di rantau ini.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama untuk meningkatkan kecekapan grid antara kedua-dua negara dan memajukan integrasi tenaga serantau,” katanya.
Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Bertanggungjawab bagi Tenaga, Sains dan Teknologi Singapura, Dr. Tan See Leng.
JDA tersebut akan memulakan kajian penuh bagi menilai daya maju teknikal dan komersial sambungan elektrik kedua itu.
Ia merupakan lanjutan kepada kajian pra-kebolehlaksanaan yang disiapkan oleh SP Group dan TNB pada Mei lalu, yang mendapati tiada halangan teknikal untuk pelaksanaannya.
Sambungan elektrik pertama antara Malaysia dan Singapura telah diwujudkan pada 1983 dan dinaik taraf pada 2022 untuk membolehkan aliran elektrik dua hala sehingga 1,000 MW.
Pada masa ini, sambungan tersebut menyokong dua projek perdagangan elektrik rentas sempadan iaitu Projek Integrasi Tenaga Lao PDR–Thailand–Malaysia–Singapura (LTMS-PIP) dan projek rintis Energy Exchange Malaysia (ENEGEM).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SP Group, Stanley Huang berkata, pihaknya komited memperkukuh infrastruktur tenaga Singapura bagi menyokong sambungan grid serantau dan memastikan keterjaminan tenaga negara melalui kepelbagaian sumber rendah karbon.
Sambungan kedua yang dirancang ini akan memperkukuh lagi visi Grid Kuasa ASEAN dengan meningkatkan kesalinghubungan grid serantau serta memperluas perdagangan tenaga antara negara anggota.-UTUSAN