KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama di dunia membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Planet Negara (PTKPN), yang menjadi pelan hala tuju operasi mempercepat kemajuan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) melalui pendekatan kesihatan planet.
Pengarah Eksekutif dan Profesor, Kesihatan Planetari, Universiti Sunway, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood berkata, pelan itu diterajui oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Jelasnya, dengan penglibatan lebih 3,500 pihak berkepentingan merangkumi kerajaan, akademia, masyarakat sivil, belia, komuniti orang asli dan industri, menjadikannya satu inisiatif seluruh negara yang bersifat inklusif.
“Berteraskan empat prinsip utama iaitu berpusatkan kemanusiaan, berteraskan alam semula jadi, dipacu sains dan inovasi, serta nilai dan etika teras, pelan ini memperkenalkan paradigma baharu dalam menilai kejayaan negara.
“Daripada ukuran pulangan pelaburan (ROI) semata-mata, Malaysia kini menumpukan kepada pulangan nilai yang mengukur kesejahteraan melalui kesihatan manusia, ekosistem dan institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Plenari 2: Mempercepatkan SDG melalui pendekatan kesihatan planetari pada Persidangan Impak Yayasan MySDG 2025, di sini hari ini.
Beliau berkata, antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah pemecahan sistem dalam pelaksanaan dasar, apabila kementerian dan agensi beroperasi secara terasing.
“Bagi mengatasi isu itu, pelan berkenaan mencadangkan penubuhan Majlis Kemampanan Nasional bagi menyelaras dasar ekonomi, sosial dan alam sekitar di bawah satu payung bagi memupuk sinergi dan kerjasama merentas sektor.
“Selain itu, pelan tersebut memperkukuh hubungan antara sains dan dasar melalui rangka kerja penjejakan impak serta pembangunan pangkalan data genomik alam sekitar.
“Dari sudut ekonomi, pelan ini turut mentakrif semula pembangunan dengan memperkenalkan pendekatan pembiayaan inovatif yang memberi manfaat pelbagai kepada SDG, termasuk sektor tenaga boleh diperbaharui, pertanian regeneratif dan peningkatan kualiti udara,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia sebelum ini telah menunjukkan komitmen melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) yang berjaya memobilisasi berbilion ringgit untuk projek tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa.
“Ini sekali gus mengurangkan pelepasan karbon serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan hijau.
“Pelan berkenaan turut menumpukan kepada enam bidang utama iaitu tadbir urus, alam sekitar dan kesihatan, sistem makanan mampan, penyelidikan dan pendidikan, peralihan tenaga, serta nilai, budaya dan perubahan tingkah laku,” katanya.
Jemilah berkata, jurang pembiayaan SDG di peringkat global dianggarkan mencecah bertrilion dolar dan Malaysia kini mengorak langkah dengan menyelaras dasar fiskal.
“Ini berasaskan hasil kesihatan planet serta memperkukuh perkongsian awam-swasta yang berpaksikan nilai bersama, bukan keuntungan jangka pendek.
“Apabila modal mengikuti nilai, inovasi dan kepercayaan akan berkembang, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi negara dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pembangunan mampan berasaskan kesihatan planet,” katanya. – UTUSAN










