Malaysia pacu hala tuju baharu ASEAN ke arah ekonomi lestari dan inklusif - Utusan Malaysia

Malaysia pacu hala tuju baharu ASEAN ke arah ekonomi lestari dan inklusif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA yang menyandang Kepengerusian ASEAN 2025 buat kali kelima tahun ini memainkan peranan penting dalam memperkukuh keterangkuman dan kemampanan serantau, seiring dengan pelancaran Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 yang menjadi asas kepada Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi Global, hala tuju baharu ini dijangka memacu integrasi ekonomi serantau dengan menekankan aspek transformasi kewangan, digital dan hijau bagi memastikan pertumbuhan mampan dalam menghadapi ketidaktentuan global.

“Sehubungan itu, Malaysia turut menekankan keperluan menjadikan ASEAN sebagai rantau yang berdaya tahan dan inklusif dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN melancarkan Pelan Strategik AEC 2026-2030 sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan Rangka Tindakan AEC 2025 yang telah mencapai kadar kemajuan sebanyak 97 peratus.

“Sebanyak 75 peratus daripada inisiatif tersebut telah diselesaikan manakala 22 peratus lagi sedang dilaksanakan, mencerminkan komitmen kukuh negara anggota dalam memperkukuh ekonomi serantau.

“Pelan strategik ini membentuk rangka kerja menyeluruh berasaskan empat teras utama iaitu meningkatkan perdagangan dan pelaburan, mewujudkan laluan ekonomi inklusif dan mampan, memperkukuh kesalinghubungan serantau serta membina ekosistem digital yang berdaya tahan.

“Sebanyak 18 Keberhasilan Ekonomi Keutamaan (PED) dikenal pasti, termasuk tiga di bawah trek kewangan yang diterajui Malaysia bagi membentuk AEC yang lebih inklusif, berdaya saing dan bersedia menghadapi masa hadapan,” katanya.

Dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor-Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di Kuala Lumpur baru-baru ini, Malaysia mengetengahkan tiga PED utama, antaranya memperkukuh kewangan hijau untuk ekonomi yang adil dan berdaya tahan iklim.

“Antara inisiatif penting termasuk penerbitan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari Versi 4 yang memperkenalkan kategori baharu “Amber” bagi menggambarkan kepelbagaian tahap pembangunan ekonomi negara anggota.

“Selain itu, pelancaran Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) 2025-2028 memperkenalkan kemudahan pembiayaan seperti Regional Connectivity Facility (RCF) dan ASEAN Power Grid Transition Financing Facility (ASEAN TFF) bagi menggalakkan pelaburan infrastruktur hijau berskala besar. Malaysia turut memperkenalkan Panduan Penzahiran ESG Ringkas (SEDG) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyesuaikan operasi mereka dengan keperluan pelaporan ESG global,” katanya.

Langkah-langkah ini, menurut laporan tersebut, dijangka menjana pelaburan hijau antara AS$3.7 trilion hingga AS$6.7 trilion menjelang 2050, di samping mewujudkan sehingga 66 juta peluang pekerjaan baharu di seluruh rantau.

Dalam pada itu, Malaysia juga menerajui Pelan Tindakan Forum Pasaran Modal ASEAN (ACMF) 2026-2030 bagi memperkukuh integrasi pasaran dan menjadikan ASEAN sebagai kelas aset yang berdaya saing global.

Pelan tersebut memberi tumpuan kepada penyelarasan kawal selia, pembangunan kapasiti dan peningkatan ketelusan untuk memperluas pembiayaan mampan.

Tambah laporan itu, dari segi digital pula, Malaysia mempercepat peluasan ketersambungan pembayaran segera rentas sempadan ASEAN dengan sasaran menambah pautan QR dua hala daripada 18 kepada 25 menjelang akhir tahun ini.

“Inisiatif ini disasar meningkatkan transaksi rentas sempadan sebanyak 50 peratus setahun serta memudahkan pemindahan dana individu, sekali gus menyokong PMKS, pengguna dan pekerja migran melalui pengurangan kos transaksi serta peningkatan kecekapan,” katanya.

Dalam pada itu, laporan itu berkata, sebagai Pengerusi Bersama Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN+3 (AFMGM+3) bersama China, Malaysia juga memperkukuh hubungan dengan tiga ekonomi utama Asia iaitu China, Jepun dan Republik Korea bagi menjamin kestabilan kewangan serantau.

“Antara inisiatif utama termasuk penambahbaikan Inisiatif Multilateralisasi Chiang Mai (CMIM) bernilai AS$240 bilion dengan pelaksanaan Rapid Financing Facility (RFF) bagi membolehkan akses segera kepada dana kecemasan.

“Selain itu, Inisiatif Pasaran Bon Asia (ABMI) turut dikemas kini dengan tumpuan kepada kewangan digital mampan, manakala Inisiatif Pembiayaan Risiko Bencana (DRFI) diperkukuh untuk meningkatkan daya tahan rantau terhadap risiko bencana dan kejutan ekonomi.

“Pada masa sama, Malaysia memperkukuh jalinan antara trek kewangan ASEAN dan rakan antarabangsa termasuk ASEAN-BAC, EU-ABC, US-ABC serta organisasi multilateral seperti IMF, Bank Dunia, ADB dan ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO).
“Kerjasama ini penting untuk memastikan dasar kewangan ASEAN kekal sejajar dengan piawaian global, selain menyokong keupayaan rantau ini mengekalkan kestabilan dalam suasana geopolitik yang tidak menentu,” katanya.

Secara keseluruhannya, kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 menegaskan komitmen terhadap integrasi kewangan serantau, peluasan pelaburan hijau dan pemacuan inovasi digital.

Pendekatan strategik ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan ASEAN di pentas global, malah meletakkannya di landasan kukuh menuju Wawasan Komuniti ASEAN 2045 sebagai blok ekonomi yang stabil, bersepadu dan berimpak tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN