PETALING JAYA: Malaysia terdedah kepada inflasi global dan kejutan bekalan berikutan kebergantungan tinggi Malaysia terhadap makanan import, kata RHB Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan berkata, kerajaan memerlukan pembaharuan menyeluruh dalam sektor makanan untuk menjamin tahap kelestarian bekalan dalam jangka panjang.
Katanya, walaupun sektor ini mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.1 peratus tahun ke tahun dan peningkatan nilai tambah 4.2 peratus pada 2024, Malaysia kekal pengimport bersih makanan.
“Kami menilai berdasarkan dengan import makanan pertanian naik 14 peratus berbanding eksport hanya 11.5 peratus, terutamanya melibatkan beras, gandum, benih, baja dan jentera,” katanya dalam nota penyelidikan.
RHB Investment Bank berkata, analisis mereka mendapati 73 peratus tanah pertanian di Malaysia ditumpukan kepada kelapa sawit, manakala tanaman makanan hanya 10 peratus, meskipun kedua-duanya menyumbang nilai tambah hampir sama.
Menurutnya, komoditi tersebut mencatatkan nilai 44 peratus bagi setiap hektar pada tahun lali iaitu hanya tinggi sedikit berbanding tanaman makanan pada 42 peratus, meskipun tanah yang diperuntukkan adalah amat kecil.
“Kebergantungan ini menjadikan Malaysia berisiko tinggi terhadap ancaman besar dari luar seperti berlaku ketika krisis kewangan global 2007 sehingga 2008.
“Sepanjang tempoh itu, spekulasi komoditi menyebabkan lonjakan harga beras, sementara isu larangan eksport beras oleh India pada 2023 mengganggu teruk rantaian bekalan di pasaran serantau,” ujarnya.
Bagi subsektor koko, bank pelaburan berkata, pengeluaran koko di benua ini merosot 60 peratus antara 2012 hingga 2022, dengan pengeluar utamanya, Indonesia adalah paling teruk, walaupun kemudahan pemprosesan di Asia berkembang.
Sementara itu, bank pelaburan berkata, syarikat-syarikat di Malaysia memilih Ecuador, yang mencatat kadar pertumbuhan tahunan terkompaun bagi eksport ke Asia sebanyak 23 peratus dalam dekad lalu.
RHB Investment Bank mencadangkan pendekatan pertanian berskala besar serta tanaman campuran untuk meningkatkan kesuburan tanah dan menjana pendapatan tambahan bagi ramai pekebun kecil.
“Sokongan kerajaan lebih proaktif juga wajar melalui subsidi bersasar, pembinaan infrastruktur ladang dan khidmat nasihat lapangan selain penetapan harga lantai dan pendapatan mapan bagi petani.
“Ini supaya sektor makanan kekal menarik terutama kepada generasi muda, bagi menangani isu purata umur petani yang kini mencecah 60 tahun dengan kurang bakat pelapis,” jelasnya.
Berdasarkan situasi semasa, bank pelaburan menyenaraikan lima kaunter utama yang berpotensi mendapat manfaat daripada usaha peningkatan daya tahan sektor makanan negara antaranya Farm Price Holdings Berhad.
“Kami turut memilih pengeluar produk koko utama, Guan Chong serta konglomerat perladangan, IOI Corporation dan SD Guthrie, selain pemain besar penternakan, Leong Hup International,” katanya.
RHB Investment Bank berkata, anjakan strategi menyeluruh diperlukan daripada hanya fokus industri berasaskan eksport kepada pendekatan seimbang menjamin keselamatan makanan dan kebajikan petani. – UTUSAN










