PETALING JAYA: Jumlah pergerakan penumpang di seluruh Kumpulan Malaysia Airports meningkat sebanyak 12.2 peratus tahun ke tahun kepada 40.6 juta penumpang pada suku ketiga 2025, berbanding 36.2 juta penumpang dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan itu turut termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISGIA).
Bagi operasi lapangan terbang Malaysia di bawah kumpulan tersebut, jumlah pergerakan penumpang meningkat 8.1 peratus, kepada 26.9 juta pada Q3 2025 daripada 24.9 juta pada suku ketiga 2024.
Sebagai pintu masuk utama negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 16.3 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2025, iaitu peningkatan sebanyak 1.2 juta penumpang atau 7.75 peratus tahun ke tahun berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, sebanyak lapan syarikat penerbangan baharu telah memulakan operasi di Malaysia tahun ini, sekali gus memperkukuh keterhubungan udara global negara.
“Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026, kami terus memperluas laluan baharu dan membina kerjasama dengan syarikat penerbangan di pasaran utama seperti ASEAN, Asia Selatan, Asia Timur Laut, Asia Tengah, Asia Barat, Eropah dan Pasifik Barat Daya.
“Usaha ini mengukuhkan komitmen kami untuk meletakkan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau pilihan, menghubungkan lebih ramai penumpang dan destinasi sambil terus meningkatkan pengalaman penumpang serta kecemerlangan operasi,” ujarnya.
Bagi suku ketiga sahaja, dua syarikat penerbangan baharu telah memulakan operasi di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 75 syarikat penerbangan.
Ini termasuk Jiangxi Air dengan laluan Nanchang–Kuala Lumpur dan Hong Kong Express yang mengendalikan perkhidmatan Hong Kong–Subang.
Dalam tempoh sama, sebanyak 12 laluan baharu turut diperkenalkan, termasuk sambungan Taiyuan–Wuhan–Kuala Lumpur oleh China Eastern Airlines.
Sementara itu, ISGIA mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh dengan mencatat 13.7 juta pergerakan penumpang pada suku ketiga 2025, peningkatan 21.2 peratus tahun ke tahun daripada 11.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh trafik antarabangsa yang meningkat 26.1 peratus daripada 5.9 juta kepada 7.4 juta penumpang.
Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan lapangan terbang tersebut sebagai hab transit antarabangsa utama dan pintu masuk pilihan bagi keterhubungan serantau. – UTUSAN