MAJESTIC Gen memperkenalkan projek terbaharu, Majestic Yu, sebagai kediaman hak milik kekal dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM71.1 juta di atas tanah seluas 3.76 hektar.
Projek itu menerima sambutan menggalakkan dengan kadar tempahan mencecah 80 peratus sejak pra-pelancaran pada Jun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap rumah bertanah di Seremban.
Ketua Pegawai Eksekutif Majestic Gen, Datuk Hoo Kim See berkata, sambutan kukuh tersebut membuktikan keluarga hari ini bukan sahaja mahukan kediaman cantik, malah praktikal dan berbaloi sebagai pelaburan masa depan.
“Setiap projek Majestic Gen berpaksikan nilai teras CHARM iaitu mesra pelanggan, jujur, berwawasan, bijak mengurus sumber dan berwibawa dalam pelaksanaan.
“Oleh itu, Majestic Yu meneruskan legasi Majestic sebagai projek yang menekankan ruang, keselesaan dan keselamatan di samping menjamin nilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Majestic Yu menampilkan 106 unit kediaman eksklusif merangkumi teres dua tingkat, rumah berkembar dan teres setingkat serta menawarkan variasi kediaman yang memenuhi pelbagai segmen.
“Teres dua tingkat tersedia dalam lot 22’ x 75’ dengan keluasan 2,341 kaki persegi hingga 2,419 kaki persegi dan lot 24’ x 75’ (2,517 kaki persegi hingga 2,707 kaki persegi).
“Bagi yang mahukan ruang lebih luas, rumah berkembar di atas lot 40’ x 85’ dengan keluasan 2,966 kaki persegi tampil eksklusif dengan pelan lantai lapang dan halaman hadapan yang besar.
“Sementara itu, teres setingkat di atas lot 20’ x 65’ berkeluasan 1,089 kaki persegi hingga 1,143 kaki persegi menjadi pilihan ideal buat keluarga muda atau pemilik rumah pertama.
“Teres setingkat ditawarkan pada harga bermula serendah RM250,000, manakala unit lebih besar ditawarkan daripada RM751,000, tawaran nilai yang menakjubkan untuk lokasi strategik, saiz tanah serta status hak milik kekalnya,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, nama “Yu” sendiri membawa makna simbolik yang mendalam.
“Ia diinspirasikan daripada ikan yu yang melambangkan kekuatan, sementara dalam bahasa Cina, “Yu” turut merujuk kepada jed yang melambangkan kesucian dan nilai berkekalan.
“Falsafah ini diterjemahkan ke dalam seni bina Majestic Yu dengan garisan minimalis, pintu masuk setinggi lapan kaki, tingkap serta pintu gelangsar luas untuk pencahayaan semula jadi dan pengudaraan yang baik,” ujarnya.
Beliau berkata, reka bentuk projek ini menekankan ruang terbuka, pencahayaan semula jadi serta fungsi praktikal seperti bilik tidur aras bawah untuk warga emas, ruang keluarga tambahan dan anjung kereta dua kenderaan.
“Dengan fleksibiliti susun atur dalaman, Majestic Yu sesuai untuk keluarga pelbagai generasi, sama ada warga emas, pasangan muda atau keluarga yang bekerja dari rumah.
“Komuniti hijau berlandskap turut diwujudkan sebagai ruang riadah dan interaksi sosial, di samping skim berpagar dan berpengawal untuk meningkatkan keselamatan,” katanya.
Mengulas mengenai lokasi projek itu yang strategik, beliau berkata, Majestic Yu terletak hanya tiga kilometer dari pusat bandar Seremban, bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dengan akses terus ke Jalan Lingkaran Dalam.
“Kemudahan berhampiran termasuk Palm Mall, Oasis Business Centre, Kemayan Square, Seremban Gateway serta Hospital KPJ Seremban Specialist.
“Gabungan akses strategik, kemudahan gaya hidup, penjagaan kesihatan dan pendidikan memberikan keyakinan kepada keluarga bahawa setiap keperluan mereka tersedia dengan sempurna.
“Serentak itu, Majestic Yu bukan sahaja menawarkan tempat tinggal yang ideal hari ini, tetapi juga menjanjikan nilai pelaburan yang kukuh serta berkembang seiring kemajuan pesat Seremban,” jelasnya.-UTUSAN