PETALING JAYA: Lynas Rare Earths Ltd merancang untuk menubuhkan loji pemisahan unsur nadir bumi baharu bernilai RM500 juta di Malaysia bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap sumber yang boleh dipercayai di luar China.
Fasiliti baharu tersebut akan mempunyai keupayaan untuk memproses sehingga 5,000 tan input unsur nadir bumi berat setiap tahun.
Bahan mentah bagi fasiliti ini akan diperoleh daripada lombong Mount Weld milik Lynas serta daripada sumber lain yang akan dibangunkan, termasuk deposit tanah liat ionik yang mengandungi unsur nadir bumi di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Amanda Lacaze berkata, fasiliti pemprosesan Unsur Nadir Bumi Berat (HRE) baharu di Lynas Malaysia merupakan elemen penting dalam strategi pertumbuhan syarikat Towards 2030 dan menyumbang kepada kekuatan penawaran pelbagai produk syarikat.
Katanya, permintaan pasaran bagi unsur nadir bumi berat adalah tinggi, dan Lynas mempunyai kelebihan untuk memilih di mana serta pada harga berapa kami akan menjual oksida unsur nadir bumi berat tersebut.
“Lynas telah memeterai kontrak bagi pengeluaran semasa Dysprosium (Dy) dan Terbium (Tb) dengan terma yang menguntungkan, mencerminkan nilai strategik serta ketersediaan segera bahan-bahan ini.
“Perjanjian jual beli bagi pengeluaran HRE baharu akan dirundingkan berdasarkan harga lantai dan keutamaan akan diberikan kepada pelanggan yang mana Lynas membekalkan 100 peratus keperluan mereka.
“Lynas juga akan memberi keutamaan kepada segmen pasaran dengan harga yang lebih menguntungkan, seperti industri elektronik,” katanya dalam kenyataan.
Lynas merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan luar China yang beroperasi dengan cekap dan boleh dipercayai dan satu-satunya pengeluar di luar China yang mampu membekalkan kedua-dua jenis produk unsur nadir bumi ringan (LRE) dan HRE.
Pada 2025, Lynas telah membuktikan keupayaan syarikat untuk memisahkan dua oksida unsur nadir bumi berat yang mendapat permintaan tinggi, iaitu Dysprosium (Dy) dan Terbium (Tb) di samping keupayaan kami menghasilkan LRE dalam skala besar.
Sumber bahan mentah bagi fasiliti baharu HRE Lynas akan diperoleh daripada lombong nadir bumi gred tinggi Mt Weld yang mengandungi kedua-dua jenis unsur nadir bumi ringan dan berat.
Selain itu, sumber tambahan akan dibangunkan termasuk endapan tanah liat ionik nadir bumi di Malaysia.
Bersama dengan produk LRE sedia ada, Lynas Malaysia kini menghasilkan oksida Dysprosium dan Terbium yang telah diasingkan.
Penubuhan fasiliti baharu ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran HRE serta menawarkan kepada pelanggan rangkaian produk HRE yang lebih luas bagi memenuhi keperluan industri pembuatan moden.
Dengan kepakaran dalaman, makmal dan kemudahan pengeluaran sedia ada, Lynas dapat menyiapkan projek ini dengan kos efektif berjumlah kira-kira A$180 juta (RM500 juta).
Projek ini akan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat sendiri, hasil daripada pembiayaan ekuiti yang berjaya diselesaikan pada September 2025.
Tempoh pembinaan fasiliti baharu ini masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Dalam pada itu, Lynas kini sedang berbincang dengan beberapa rakan usaha sama dan pembeli utama (offtake partners) untuk memastikan pengambilan produk HRE diperluas pada harga pasaran yang kompetitif.
“Pembinaan akan dilaksanakan secara berperingkat, dengan produk keutamaan dikeluarkan terlebih dahulu.
“Pengeluaran awal unsur Samarium daripada bahan mentah Mt Weld dijangka bermula pada April 2026. Kapasiti pemprosesan akan ditambah secara beransur-ansur, dengan jangkaan set produk HRE pertama tersedia dalam tempoh dua tahun.
“Aliran pengeluaran awal (initial flowsheet) akan merangkumi pengasingan unsur Samarium (Sm), Gadolinium (Gd), Dysprosium (Dy), Terbium (Tb), Yttrium (Y) dan Lutetium (Lu),” katanya.
Pelaburan tambahan bagi menambah baik aliran pengeluaran untuk menghasilkan unsur HRE lain termasuk Europium (Eu), Holmium (Ho), Ytterbium (Yb) dan Erbium (Er) akan dipertimbangkan berdasarkan perjanjian komersial yang mampu memberikan pulangan pelaburan yang berpatutan. – UTUSAN










