PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan peralihan daripada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (KLIBOR) kepada Kadar Semalaman Malaysia (MYOR) dan Kadar Islam Semalaman Malaysia (MYOR-i).
Pada akhir tempoh peralihan ini, KLIBOR akan ditamatkan berkuat kuasa 1 Januari 2029.
MYOR dan MYOR-i, yang masing-masing diperkenalkan pada 2021 dan 2022 ialah kadar penanda aras berasaskan transaksi yang didorong oleh urus niaga dalam pasaran yang aktif dan cair.
BNM berkata, peralihan ini dilaksanakan susulan Kertas Perbincangan Mengenai Cadangan Peralihan Penuh kepada MYOR dan MYOR-i dan Penamatan KLIBOR yang diterbitkan pada bulan September 2024, yang telah menerima sokongan meluas daripada peserta pasaran.
“Peralihan ini merupakan sebahagian daripada agenda pembaharuan penanda aras kewangan Malaysia seperti yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 oleh BNM.
“Peralihan ini juga selaras dengan inisiatif pembaharuan penanda aras kewangan pada peringkat global.
“Peralihan kepada MYOR dan MYOR-i berperanan sebagai inisiatif berpandangan ke hadapan yang proaktif untuk memastikan penanda aras kewangan domestik kekal utuh,” katanya dalam kenyataan.
BNM telah menerbitkan pelan hala tuju peralihan bagi mempercepat penggunaan MYOR dan MYOR-i serta memastikan peralihan yang teratur.
Sasaran pencapaian utama termasuk bermula 1 Oktober 2026, peserta pasaran dijangka bersedia dari segi operasi untuk menawarkan produk yang merujuk MYOR dan MYOR-i sebagai sebahagian daripada penawaran yang standard.
Bermula 1 Julai 2027, KLIBOR tidak lagi digunakan dalam urus niaga baharu semua produk dan semua produk kewangan Islam baharu dikehendaki menggunakan MYOR-i.
Selain itu, bermula 30 Jun 2028, semua kontrak KLIBOR sedia ada akan ditukar kepada MYOR dan MYOR-i, setakat yang boleh, dan sebarang kontrak yang berbaki hendaklah mengandungi pelan sandaran yang kukuh.
BNM, bersama-sama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri untuk memastikan seluruh industri bersiap sedia menghadapi peralihan ini.
Bagi tujuan ini, BNM telah menubuhkan Jawatankuasa Kecil Penyelarasan Peralihan KLIBOR dan empat kumpulan kerja di bawah FMC untuk membantu pelaksanaan dan menyokong peralihan yang teratur.
Bagi maklumat lanjut, sila hubungi pasukan Tinjauan Penanda Aras Kewangan menerusi [email protected] atau rujuk iaitu Tinjauan Kestabilan Kewangan ST1 2025. -UTUSAN