PETALING JAYA: Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat sedikit kepada 84.8 peratus, namun keupayaan peminjam untuk memenuhi komitmen hutang kekal utuh.
Hal ini didorong oleh dasar pemberian pinjaman yang berhemah oleh institusi kewangan dan pemulihan berterusan dalam pendapatan isi rumah.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, penunjuk utama keupayaan pembayaran balik hutang kekal positif, dengan median nisbah khidmat hutang (DSR) mencatatkan 41 peratus bagi pinjaman baharu dan 33 peratus bagi keseluruhan pinjaman sedia ada.
Secara keseluruhan, kualiti peminjaman isi rumah terus kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas kekal pada 1.1 peratus.
“Bahagian pinjaman isi rumah yang berada di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman terus menurun, lantas mencerminkan amalan bayaran balik pinjaman yang mampan.
“Meskipun terdapat tekanan kos sara hidup yang berterusan, tanda-tanda tekanan kewangan dalam kalangan peminjam isi rumah kekal terhad dan terkawal,” katanya.
Menurut bank pusat, isi rumah terus menunjukkan keupayaan membayar balik hutang yang baik, disokong oleh standard pemberian pinjaman yang kukuh dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan.
“Sektor perniagaan juga kekal berupaya membayar balik hutang, didorong oleh strategi pengurusan kos yang proaktif,” katanya.
Sementara itu, BNM berkata, pada separuh pertama 2025, operasi perniagaan kekal teguh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan kegiatan ekonomi yang berterusan.
“Namun, keberuntungan dikekang oleh tekanan kos yang berlarutan, khususnya dalam sektor yang terkesan akibat kos pekerja dan bahan yang lebih tinggi.
“Walaupun menghadapi cabaran ini, sektor perniagaan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Median nisbah perlindungan faedah berada pada 6.2 kali, manakala bahagian syarikat yang berisiko kekal stabil pada 24.4 peratus,” katanya.
BNM berkata, kualiti kredit pinjaman perniagaan terus mampan, dengan nisbah pinjaman terjejas kekal pada 3.1 peratus.
“Walaupun segelintir peniaga dalam segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus menghadapi cabaran bayaran balik pinjaman, tanda-tanda tekanan kewangan kekal terkawal.
“Bahagian pinjaman PKS di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman terus menurun, mencakupi 4.1 peratus daripada jumlah pinjaman PKS dan hanya 0.7 peratus daripada jumlah pinjaman dalam sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan,” katanya.
Pada masa hadapan, persekitaran operasi dijangka kekal mencabar pada separuh kedua tahun 2025.
“Walau bagaimanapun, harga input yang menurun dan strategi pengurusan kos syarikat yang berterusan dijangka dapat mengurangkan sebahagian daripada tekanan.
“Selain itu, permintaan dalam negeri yang kukuh dan aktiviti pelaburan yang berterusan akan kekal sebagai asas utama yang menyokong daya tahan sektor perniagaan,” katanya. -UTUSAN