Keuntungan susut pada suku ketiga, beri kesan prestasi sembilan bulan pertama 2025

Keuntungan susut pada suku ketiga, beri kesan prestasi sembilan bulan pertama 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad menyemak semula sasaran keuntungan dan operasinya bagi tahun kewangan 2025 susulan prestasi suku ketiga yang lebih rendah disebabkan perubahan perkembangan global yang memberi kesan kepada sentimen pasaran.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) tahun ini kini ditetapkan antara RM314 juta dan RM347 juta, berbanding RM369 juta hingga RM408 juta yang disasarkan sebelumnya.

Permodalan pasaran tawaran awam permulaan (IPO) pula disemak semula kepada kepada RM25.2 bilion, daripada RM40.2 bilion sebelumnya.

Bursa Malaysia mencatatkan PBT sebanyak RM86.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, berbanding RM2.3 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025.

Ia membawa kepada Keuntungan Selepas Cukai, Zakat dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak RM189.3 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2025, susut 21.5 peratus daripada RM241.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Penurunan itu terutamanya disebabkan oleh pengurangan 10.4 peratus dalam hasil operasi kepada RM518.1 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, berbanding RM578.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.

Mengulas prestasi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, perkembangan global mempengaruhi sentimen pasaran menyebabkan penurunan Purata Nilai Dagangan Harian (ADV) dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025.

“Bagaimanapun, kami mula melihat peningkatan apabila kejelasan lebih besar muncul daripada rundingan tarif Amerika Syarikat (AS), dengan hasil dagangan Pasaran Sekuriti meningkat 13 peratus suku ke suku.

“Selain itu, PBT meningkat suku ke suku sebanyak 13.5 peratus, meningkat kepada RM86.3 juta dalam suku ketiga 2025, berbanding RM76 juta dalam suku kedua 2025.

“Dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, dagangan derivatif, BSAS serta sumber hasil dagangan dan bukan dagangan lain terus menunjukkan pertumbuhan, memberikan daya tahan dan membuktikan keberkesanan strategi Bursa dalam mempelbagaikan tawaran merentasi pelbagai kelas aset,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, penyederhanaan prestasi kewangan Bursa Malaysia dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, terutamanya berpunca daripada penurunan 25 peratus dalam hasil dagangan Pasaran Sekuriti, yang menurun kepada RM225.2 juta daripada RM300.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.

Ini disebabkan oleh penurunan 25.6 peratus dalam ADV Dagangan di Pasaran kepada RM2.5 bilion, berbanding RM3.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata, usaha bursa disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan ekosistem pasaran modal yang mantap.

“Ini di samping dasar monetari yang akomodatif serta dasar kerajaan yang jelas untuk memperkukuh sektor-sektor keutamaan,” ujarnya.

Bursa Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia melalui platform pengumpulan modalnya.

Dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, Bursa menyambut 41 penyenaraian baharu, yang secara kolektif berjaya mengumpul RM4.4 bilion dan menambah RM22.3 bilion kepada jumlah keseluruhan permodalan pasaran.

Selain itu, bursa terus berusaha menarik syarikat tersenarai di bursa lain untuk melakukan penyenaraian sekunder di Bursa Malaysia, bagi memperluas asas pelabur dan meningkatkan kecairan dagangan.

Pada 1 Ogos lalu, Bursa Malaysia mencapai pencapaian penting dengan menyambut UMS Integration Ltd ke Pasaran Utama, menjadikannya syarikat pertama yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX) yang mempunyai penyenaraian sekunder di Bursa Malaysia.

Dalam pada itu, bagi Pasaran Derivatif, hasil dagangan meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada RM83.1 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, daripada RM80.9 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2024.

Ia terutamanya disebabkan oleh peningkatan volum kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO).

Peningkatan ini berpunca daripada kelewatan pelaksanaan dasar biodiesel B40 Indonesia dan pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih rendah di Malaysia yang telah merangsang aktiviti lindung nilai di kalangan peserta komersial.

Selain itu, dari segi Pasaran Islam, hasil operasi mencatatkan peningkatan 30 peratus kepada RM16.9 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, daripada RM13 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.

Ini didorong oleh peningkatan hasil dagangan BSAS kepada RM15 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, berbanding RM12.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.

Selain itu, hasil dagangan Bursa Gold Dinar meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1.9 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, daripada RM700,000 dalam tempoh sama tahun sebelum, berikutan peningkatan volum transaksi emas. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN