BELANJAWAN 2026 akan mempercepat penggunaan digitalisasi dengan meluaskan akses kepada penggunaan peralatan digital, latihan dan keupayaan e-dagang bagi meningkatkan daya saing dan kebolehskalaan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS).
Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, langkah ini akan menggalakkan ekosistem inovasi yang menghubungkan PMKS dengan penyedia teknologi, institusi penyelidikan dan rantaian bekalan global.
Katanya, ini sekali gus membolehkan lebih banyak firma mengambil bahagian dalam pasaran antarabangsa di samping meningkatkan produktiviti.
“Malaysia juga akan mendapat manfaat melalui pertumbuhan dalam industri pelancongan dan perkhidmatan berkaitan sempena Tahun Melawat Malaysia (VM2026).
“Sehubungan itu, kerajaan akan menumpukan kepada dasar visa secara progresif termasuk melanjutkan kemasukan tanpa visa untuk negara terpilih serta menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur berkaitan pelancongan, menambah baik pengangkutan awam dan menggalakkan aktiviti ekopelancongan,” katanya.
Tambahnya, transformasi ekonomi Malaysia memerlukan langkah berani untuk meningkatkan produktiviti dan mempercepat peralihan ke arah aktiviti nilai ditambah lebih tinggi dalam menyokong usaha sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dan peralihan tenaga.
“Sehubungan itu, teras ‘menaikkan siling’ melibatkan usaha meningkatkan keupayaan industri, menggalakkan pertumbuhan yang diterajui inovasi dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi meningkatkan skala perniagaan serta integrasi ke dalam rantaian nilai global.
“Malaysia bersedia untuk meneroka sumber pertumbuhan baharu yang akan memperkukuh kedudukan negara sebagai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan melalui teknologi, bakat dan prinsip kemampanan.
“Malaysia sedang menuju ke arah ekonomi dipacu Al dengan mengiktiraf Al sebagai pemboleh daya utama produktiviti, inovasi dan daya saing,” ujarnya. – UTUSAN