KDNK Malaysia diunjur 5.2 peratus pada suku ketiga

KDNK Malaysia diunjur 5.2 peratus pada suku ketiga

PERTUMBUHAN ini digerakkan oleh permintaan domestik yang kukuh,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga, peningkatan daripada 4.4 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh prestasi kukuh merentasi semua sektor utama dan permintaan domestik.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, momentum ekonomi negara terus mengukuh hasil prestasi positif sektor perkhidmatan, pembuatan serta perlombongan yang kembali rancak.

“Pertumbuhan ini digerakkan oleh permintaan domestik yang kukuh, khususnya dalam aktiviti berkaitan pelancongan sepanjang musim cuti umum dan sekolah.

“Pelaburan modal berterusan serta peningkatan permintaan luaran turut menyokong pengembangan ekonomi meskipun berdepan ketidaktentuan dasar perdagangan global,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus serta pengagihan bantuan tunai RM100 di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut merangsang penggunaan domestik dan aktiviti ekonomi.

“Berdasarkan indikator berkaitan, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat masing-masing 4.2 peratus pada Julai dan 4.9 peratus pada Ogos. Pengeluaran pembuatan naik 2.8 peratus pada Ogos, disokong industri berorientasikan eksport, manakala sektor perlombongan melonjak 16.8 peratus hasil peningkatan pengeluaran minyak mentah, kondensat dan gas asli,

“Dalam tempoh sama, jualan borong dan runcit meningkat 5.0 peratus pada Julai dan 4.9 peratus pada Ogos, dengan subsektor perdagangan borong mendahului kenaikan.

“Bagaimanapun, perdagangan luar negara menunjukkan corak tidak menentu apabila eksport menyederhana kepada 1.7 peratus pada Ogos berbanding 6.5 peratus pada Julai, sementara import menyusut 5.9 peratus,” katanya.

Semua sektor utama ekonomi mencatat pertumbuhan positif dengan sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai penyumbang utama pada sukut tahun ini dengan pertumbuhan 5.1 peratus, diikuti pembuatan (4.0 peratus) dan perlombongan (10.9 peratus).

Sektor pembinaan mengekalkan momentum kukuh dengan pertumbuhan dua angka 11.2 peratus, manakala sektor pertanian berkembang marginal 0.4 peratus, dipacu subsektor ternakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN