KUALA LUMPUR: JLand Group (JLG) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. (CGS MY) bagi meneroka kerjasama strategik memajukan pelaburan berkualiti tinggi serta memperkukuh kerjasama operasi di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Usaha itu bertujuan menggabungkan kekuatan pasaran modal dan kawasan perindustrian sedia ada.
Pengarah Urusan Kumpulan JLG, Datuk Sr. Akmal Ahmad berkata, peranan JLG sedang berkembang melangkaui pembangunan induk kepada kurator ekosistem dengan mereka bentuk dan menyelaras hubungan antara modal, tanah, infrastruktur serta bakat diperlukan oleh perusahaan untuk berkembang.
“Kerjasama ini merupakan satu pencapaian strategik penting dalam perjalanan tersebut kerana ia memperkukuh platform kami untuk menawarkan penyelesaian hujung-ke-hujung kepada pelabur dan pengendali.
“Ini daripada penyediaan tapak dan pemerkasaan infrastruktur hingga menaikkan syarikat tempatan agar mampu bersaing dalam rantaian nilai yang lebih besar. Semua ini berteraskan tadbir urus yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pemeteraian MoU dalam Forum Parallel Financial Street CGS MY anjuran bersama Bursa Malaysia di Exchange Square, di sini hari ini.
Menyaksikan majlis menandatangani itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Malaysia, Lim Hui Ying.
MoU tidak mengikat selama tiga tahun itu bertujuan memperkukuh keterhubungan pelaburan ke dalam JS-SEZ daripada pasaran ASEAN dan global.
Ia memformalkan kerjasama dalam tiga bidang utama bagi membangunkan dan mempromosikan ekosistem yang dinamik dan berkembang pesat, iaitu promosi dan rujukan, pecutan pelaburan, serta pemerkasaan pelaksanaan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Alan Inn Wei Loon berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan CGS MY dalam membina perkongsian bermakna di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
“Ia sambil memanfaatkan pertumbuhan pesat ekonomi Johor dan peranannya sebagai pintu perdagangan antara ASEAN dan China.
“Dengan memanfaatkan rangkaian Asia dan China kami yang kukuh serta kepakaran nasihat kewangan, kami berhasrat untuk memudahkan pelaburan berteknologi tinggi, berasaskan Harta Intelek dan berpotensi tinggi.
“Ini akan mengaktifkan sumber tanah luas JLG, mempercepat pengembangan berasaskan infrastruktur, serta memacu aliran perdagangan serantau yang mampan,” ujarnya. – UTUSAN










