PETALING JAYA: Inflasi keseluruhan Malaysia meningkat kepada 1.5 peratus pada September 2025, naik daripada 1.3 peratus pada Ogos, didorong kenaikan inflasi teras yang mencatat 2.1 peratus berbanding 2.0 peratus pada bulan sebelumnya.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, kenaikan itu sebahagiannya disebabkan oleh inflasi yang lebih tinggi dalam kategori pengangkutan serta perumahan dan utiliti, terutamanya bahan api dan bekalan air.
“Peningkatan kos bekalan air mencerminkan pelarasan tarif air yang dilaksanakan baru-baru ini di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia antara Ogos hingga September 2025.
“Komponen lain yang mendorong kenaikan inflasi pada September termasuk perkhidmatan komunikasi mudah alih serta barang kemas dan jam tangan,” menurut sorotan ekonomi September.
Bank pusat berkata, pasaran kewangan domestik mencatatkan prestasi stabil pada bulan tersebut dipengaruhi oleh jangkaan dasar monetari Amerika Syarikat (AS) akan menjadi semakin longgar.
Selain itu, keadaan kewangan global dilihat semakin reda susulan pengurangan kadar dasar oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada bulan September lalu.
“Berikutan perkembangan ini, ringgit kekal stabil berbanding dolar AS, dengan peningkatan nilai sebanyak 0.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, BNM berkata, kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bagi bon 10 tahun meningkat sebanyak 6.0 mata asas, sedikit lebih rendah daripada purata serantau yang mencatat kenaikan 7.1 mata asas.
“Peningkatan ini didorong oleh aliran keluar pelabur bukan pemastautin dan jangkaan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang semakin berkurang,” katanya.
Di pasaran ekuiti, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatat kenaikan 2.3 peratus, sejajar dengan purata pasaran serantau yang naik 2.2 peratus.
“Peningkatan ini disokong oleh laporan pendapatan korporat yang kukuh serta sentimen positif daripada perkembangan pasaran global,” katanya.
BNM berkata, walaupun pasaran tempatan berada dalam landasan stabil, pelabur kekal berhati-hati terhadap sebarang perubahan dasar monetari global yang boleh menjejaskan aliran modal dan prestasi pasaran.
Selain itu, perkhidmatan komunikasi mudah alih serta barang kemas dan jam tangan turut menyumbang kepada peningkatan inflasi bulan ini.
Bank pusat berkata, kualiti aset sektor perbankan Malaysia kekal kukuh dengan nisbah pinjaman terjejas kasar dan nisbah pinjaman terjejas bersih masing-masing stabil pada 1.4 peratus dan 0.9 peratus.
“Selain itu, nisbah perlindungan kerugian pinjaman termasuk rizab pengawalseliaan terus menunjukkan kedudukan berhemat pada 130.1 peratus daripada pinjaman terjejas kasar, meningkat daripada 128 peratus pada Ogos 2025,” katanya. – UTUSAN










