PETALING JAYA: Pertumbuhan pesat penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia mencetuskan cabaran baharu kepada industri insurans daripada pengurusan kos pembaikan yang lebih tinggi sehingga kepada pembangunan piawaian keselamatan dan teknikal yang baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Chua Kim Soon berkata, peningkatan populariti EV, walaupun positif dari segi kelestarian, turut menyerlahkan keperluan mendesak untuk sektor insurans menyesuaikan diri dengan risiko dan realiti operasi baharu.
“Jualan kenderaan EV dan hibrid telah berkembang dengan pesat kerana pengecualian duti, yang akan tamat pada tahun ini.
“Jualan EV sahaja meningkat lebih 90 peratus dalam separuh pertama tahun ini dan kini mewakili lebih tiga peratus daripada jumlah jualan kereta baharu,” katanya dalam taklimat media separuh pertama 2025.
Jualan kenderaan elektrik dan hibrid menunjukkan pertumbuhan yang kukuh, didorong oleh pengecualian duti import dan eksais yang dijangka tamat pada penghujung 2025.
Dalam separuh pertama tahun ini, jualan EV melonjak sebanyak 91.4 peratus, menyumbang kepada 3.4 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan kereta baharu, satu trend yang mencerminkan peralihan Malaysia ke arah mobiliti yang lebih hijau.
Beliau berkata, EV berbeza secara asasnya daripada kenderaan konvensional daripada cara dibaiki sehingga kepada kadar susut nilainya sekali gus mencipta profil risiko yang unik yang perlu disesuaikan oleh pihak insurans.
“EV adalah model yang sangat berbeza. Ia berfungsi dengan cara yang berbeza dan cara pembaikannya juga berbeza.
“Apa yang kami dapati dan ini agak baharu bagi kami ialah pengalaman kerugian bagi EV sangat berbeza berbanding kereta biasa,” katanya.
Kim Soon berkata, PIAM telah mengkaji data dari pasaran EV yang lebih matang seperti China untuk memahami prestasi kenderaan ini dalam jangka masa panjang.
“Dapatan menunjukkan apabila EV semakin berusia, tabiat pemanduan cenderung berubah, susut nilai berlaku dengan lebih cepat, dan pembaikan menjadi lebih kompleks dan teruk.
“Apabila berlaku kemalangan di bahagian tertentu kenderaan, kadangkala kereta itu langsung tidak boleh dibaiki.
“Kita perlu membina seluruh ekosistem rangkaian pembaikan bateri di Malaysia dan buat masa ini, ia masih belum matang,” katanya.
Beliau berkata, PIAM sedang bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menetapkan piawaian dan keperluan pematuhan yang sewajarnya bagi bengkel EV.
“Tidak seperti kenderaan konvensional, pembaikan EV memerlukan kemahiran khusus dan protokol keselamatan yang ketat.
“Anda sebenarnya memerlukan jurutera elektrik untuk membaiki kereta-kereta ini. Mekanik biasa tidak boleh melakukannya dan ia berbahaya jika dilakukan dengan cara yang salah.
“Oleh itu, keseluruhan ekosistem ini perlu dibangunkan dengan betul,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia masih berada dalam fasa liberalisasi berperingkat untuk insurans motor, yang bermaksud struktur harga masih dikawal sebahagiannya ini membantu pemilik EV tempatan daripada dikenakan premium yang lebih tinggi.
Namun, beliau memberi amaran bahawa di pasaran yang lebih matang dan terbuka, kos untuk menginsuranskan EV adalah jauh lebih tinggi disebabkan risiko dan kos pembaikan serta penggantian alat ganti yang lebih besar.
“Itu belum berlaku lagi di sini dan kami sedang cuba menguruskannya supaya kita tidak perlu menaikkan premium. Tetapi jika kita lihat pasaran lain, itulah realitinya,” katanya. – UTUSAN