Indeks harga pengeluar turun 0.8% pada September - Utusan Malaysia

Indeks harga pengeluar turun 0.8% pada September

PEKERJA industri pembuatan sedang melakukan kerja-kerja pemasangan mesin.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia turun 0.8 peratus pada September 2025, sederhana berbanding penurunan 2.8 peratus pada bulan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor pembuatan menurun 2.1 peratus pada September 2025 (Ogos 2025: -4.0 peratus), memberi kesan kepada indeks keseluruhan.

Katanya, penurunan ini terutamanya disebabkan oleh indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-8.9 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-4.6 peratus).

“Walau bagaimanapun, sektor lain mencatatkan peningkatan pada bulan ini. Sektor pertanian, perhutanan & perikanan meningkat 7.8 peratus (Ogos 2025: 7.3 peratus), disebabkan oleh indeks penanaman tanaman kekal yang meningkat 11.7 peratus.

“Sementara itu, sektor perlombongan naik 1.1 peratus, berbanding penurunan 3.4 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh indeks pengekstrakan gas asli (8.9 peratus).

“Sektor utiliti juga mencatatkan peningkatan dengan indeks bekalan elektrik & gas meningkat 4.6 peratus dan indeks bekalan air naik 9.1 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Uzir Mahidin berkata, pada asas bulan ke bulan, IHPR Pengeluaran Tempatan meningkat 0.5 peratus pada September 2025, selepas kenaikan 0.1 peratus pada bulan sebelumnya.

Menurutnya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 2.1 peratus, didorong oleh peningkatan dalam indeks pengeluaran ternakan (2.6 peratus) dan penanaman tanaman kekal (2.2 peratus).

“Sektor perlombongan meningkat 1.1 peratus (Ogos 2025: -1.5 peratus), disokong oleh indeks pengekstrakan gas asli (11.1 peratus).

“Sektor pembuatan juga mencatatkan peningkatan 0.3 peratus (Ogos 2025: -0.2 peratus), disumbangkan oleh indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (1.8 peratus) dan pembuatan produk makanan (0.9 peratus).

“Sementara itu, sektor bekalan air dan bekalan elektrik dan gas masing-masing meningkat sebanyak 4.8 peratus dan 0.1 peratus,” ujarnya.

Mengulas lebih lanjut mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, beliau berkata, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen menurun 1.2 peratus, terutamanya disebabkan oleh bahan api yang diproses & pelincir (-3.9 peratus).

“Indeks barang siap juga menurun 1.8 peratus (Ogos 2025: -3.4 peratus), disebabkan oleh kelengkapan modal (-2.8 peratus). Namun begitu, indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya meningkat 2.4 peratus (Ogos 2025: -0.8 peratus), disumbangkan oleh bahan bukan makanan (2.3 peratus),” jelasnya.

Mohd Uzir berkata, IHPR Pengeluaran Tempatan menurun 2.4 peratus pada suku tahun ketiga 2025 berbanding penurunan 3.7 peratus yang direkodkan pada suku tahun kedua 2025.

“Penurunan ini disumbangkan oleh sektor perlombongan (-3.8 peratus) dan pembuatan (-3.4 peratus). Namun begitu, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 5.4 peratus, manakala sektor elektrik dan gas dan bekalan air masing-masing meningkat sebanyak 4.2 peratus.

“Sementara itu, perbandingan suku tahunan, IHPR mencatatkan penurunan 0.3 peratus, berbanding penurunan 2.3 peratus pada suku tahun sebelumnya. Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh penguncupan dalam sektor Pembuatan (-1.0%).” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN