PETALING JAYA: Harga emas melonjak ke paras tertinggi pada Isnin, didorong oleh permintaan tempat selamat di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang diperbaharui dan jangkaan pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan AS.
Emas naik 1.36 peratus pada $4,071.95 (RM17,211.50) seauns atau kira-kira AS$130.92 (RM553.37) segram ketika berita ini ditulis.
Niaga hadapan emas AS untuk penghantaran Disember melonjak 2.3 peratus kepada AS$4,093.50 (RM17,302.42).
Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas barangan China ke AS dan mengumumkan kawalan eksport baharu ke atas perisian kritikal menjelang 1 November, sebagai tindak balas kepada sekatan China terhadap unsur dan peralatan nadir bumi.
Beijing mempertahankan langkahnya pada hari Ahad sebagai wajar tetapi berhenti daripada mengenakan levi tambahan ke atas barangan AS.
Perak pula melonjak 2.6 peratus kepada AS$51.60 (RM218.07) seauns selepas mencapai rekod tertinggi AS$51.70 (RM218.50), didorong oleh faktor yang sama seperti emas.
Kenaikan mendadak harga emas ini menjadi penanda aras baharu bagi tahap ketidaktentuan global, sambil menunjukkan perubahan besar dalam strategi pelabur, daripada mengejar pulangan berisiko tinggi kepada melindungi aset dalam suasana ketidaktentuan pasaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perang tarif yang berterusan antara AS dan china menjadi pendorong kepada lonjakan emas.
Tambahnya, faktor lain yang turut menyumbang peningkatan termasuk kemungkinan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.
“Lonjakan harga emas ini akan berterusan selagi isu tarif AS terhadap China tidak selesai.
“Emas harus dilihat sebagai pelaburan jangka masa panjang yang amat menguntungkan. Tidak sesuai kalau melabur dengan cara sedikit dan mendapat keuntungan jangka pendek,” katanya. – UTUSAN









