BAGI tempoh lapan bulan pertama 2025, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengharungi persekitaran global yang mencabar dipengaruhi oleh tarif AS, ketegangan geopolitik dan pelarasan dasar monetari serantau,menurut Tinjauan Ekonomi.
Indeks ini mula berada di bawah tekanan pada awal April 2025 berikutan pengenaan tarif meluas AS yang menyebabkan bursa tempatan ditutup rendah pada paras 1,400.59 mata pada 9 April.
“Walau bagaimanapun, pasaran tempatan meningkat semula dengan ketara didorong oleh perbelanjaan domestik yang berdaya tahan, minat belian semula pelabur asing, keyakinan terhadap penangguhan sementara dalam perang perdagangan dan manfaat daripada langkah rangsangan China yang melonjakkan indeks kepada 1,582.39 mata pada 13 Mei,” menurut laporan itu.
Dalam pada itu, pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 dan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 secara one-off serta jangkaan siri pengurangan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) telah membantu meningkatkan sentimen pasaran.
“Pada 25 Ogos, FBM KLCI meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh masa lima bulan kepada 1,602.45 mata sebelum menyusut kepada 1,575.12 mata pada akhir Ogos 2025. Permodalan pasaran mencecah RM1,950.30 bilion dengan purata volum harian sebanyak 530.9 bilion unit dan nilai dagangan RM429.5 bilion telah mencerminkan proses konsolidasi yang baik.
“Keadaan perdagangan kekal teratur dengan purata halaju pasaran melebihi 30 peratus dan turun naik pasaran terkawal sekitar 11 peratus manakala pegangan pelabur asing kekal stabil sekitar 19 peratus daripada permodalan pasaran.
“Keadaan ini memberikan isyarat keyakinan pelabur yang berterusan terhadap pasaran ekuiti tempatan,” katanya.
Pada 2026, pasaran ekuiti Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada reformasi struktur berterusan, perbelanjaan pengguna yang mantap, landskap politik yang stabil serta pengukuhan berterusan ringgit sekali gus menyokong sentimen pelabur.
Pelan Induk Pasaran Modal 4 (CMP4) menggariskan visi strategik bagi tempoh 20 tahun dengan pelan tindakan praktikal lima tahun bermula 2026- 2030.
Berteraskan pendekatan berasaskan keberhasilan, CMP4 berbeza daripada pelan terdahulu dengan menetapkan sasaran jelas bagi visi jangka masa panjang serta memberi penekanan kepada kerjasama luaran melalui pendekatan seluruh negara bagi memastikan kemajuan berterusan.
Pelan ini menggariskan inisiatif transformasi yang bertujuan merangka dan menyelaras semula pasaran modal Malaysia agar terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, daya tahan dan keterangkuman.
Inisiatif ini akan memanfaatkan arus perubahan global yang sedang mengubah landskap ekonomi, perniagaan dan masyarakat.
Selaras dengan keutamaan kelestarian nasional, CMP4 akan memudah cara mobilisasi modal bagi menyokong peralihan yang adil, mitigasi, adaptasi dan daya tahan iklim sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan lestari terkemuka di rantau ini. – UTUSAN