PETALING JAYA:Produktiviti buruh negara mencatatkan pertumbuhan positif di kebanyakan negeri pada tahun 2024, dengan enam negeri iaitu Pahang, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka, Selangor dan Sarawak mengatasi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 2.4 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu sejajar dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.1 peratus pada tahun berkenaan.
“Produktiviti buruh Malaysia meningkat 2.4 peratus pada 2024 dengan nilai ditambah per pekerja mencecah RM99,265 seorang, berbanding RM96,914 pada tahun sebelumnya.
“Jumlah pekerja juga meningkat kepada 16.6 juta orang, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.6 peratus berbanding 16.2 juta pada 2023,” katanya dalam kenyataan.
Enam negeri mencatatkan pertumbuhan melebihi kadar nasional, didahului Pahang dengan pengembangan 4.9 peratus, diikuti Johor (4.3 peratus), Kuala Lumpur (3.0 peratus), Melaka (2.8 peratus), Selangor (2.8 peratus) dan Sarawak (2.7 peratus).
Pahang juga merekodkan produktiviti buruh tertinggi dengan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM106,316, didorong oleh pertumbuhan dalam sektor pembinaan (15.9 peratus) dan pertanian (12.8 peratus).
Sementara itu, Johor mencatatkan nilai ditambah RM80,156 seorang dengan pertumbuhan 4.3 peratus, dipacu oleh lonjakan sektor pembinaan sebanyak 53.5 peratus, manakala Kuala Lumpur merekodkan nilai RM100,223 seorang dengan pertumbuhan 3.0 peratus hasil peningkatan dalam semua sektor utama.
Di Melaka, produktiviti buruh meningkat 2.8 peratus kepada RM109,928 seorang, manakala Selangor dan Sarawak masing-masing mencatatkan pertumbuhan 2.8 peratus dan 2.7 peratus, dengan sektor pembinaan dan perlombongan menjadi penyumbang utama.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, sektor pembinaan menjadi pemacu utama kepada peningkatan produktiviti buruh keseluruhan apabila melonjak 16.4 peratus pada 2024, berbanding hanya 4.9 peratus pada 2023.
“Pertumbuhan ini didorong oleh prestasi kukuh di 14 negeri, khususnya Johor, Perlis, Melaka, Kelantan dan Sabah.
“Selain itu, sektor pembuatan meningkat 2.6 peratus, sektor pertanian naik 2.2 peratus, perkhidmatan berkembang 1.8 peratus, manakala perlombongan dan pengkuarian mencatatkan pertumbuhan 0.7 peratus.
“Dalam kalangan negeri, Johor, Terengganu, Melaka, dan Selangor menunjukkan prestasi positif dalam sektor pembuatan dan pembinaan, sementara Pahang dan Sarawak melonjak dalam sektor pertanian serta perlombongan,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk mengekalkan pertumbuhan produktiviti buruh yang berdaya tahan berikutan pasaran pekerjaan yang stabil dan sokongan dasar ekonomi negara.
“Pelaburan berterusan dalam pembangunan kemahiran tenaga kerja, latihan, pendidikan serta transformasi digital dan analitik akan menjadi kunci mengekalkan kecekapan buruh di seluruh negeri,” tambahnya. -UTUSAN










