PERTUMBUHAN ekonomi global dijangka kekal stabil dalam tempoh dua tahun akan datang dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dunia diunjurkan berkembang 3 peratus pada 2025 dan meningkat sedikit kepada 3.1 peratus pada 2026.
Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi Global, unjuran tersebut disokong oleh aktiviti perdagangan yang kukuh pada separuh pertama 2025, pemulihan kewangan global serta langkah fiskal bersasar yang dilaksanakan di beberapa ekonomi utama.
“Bagaimanapun, kadar pertumbuhan itu masih berada di bawah purata prapandemik sebanyak 3.7 peratus, menandakan pemulihan yang stabil tetapi belum sepenuhnya kukuh, selain kekal terdedah kepada pelbagai risiko luaran.
“Sementara itu, bagi ekonomi maju, pertumbuhan dijangka sederhana pada kadar 1.5 peratus tahun depan sebelum meningkat sedikit kepada 1.6 peratus pada 2026.
“Amerika Syarikat dijangka mencatat pertumbuhan 1.9 peratus pada 2025 dan 2 peratus pada 2026, manakala kawasan euro pula diunjur berkembang 1 peratus dan 1.2 peratus bagi tempoh sama.
“Ekonomi Jepun pula dijangka terus perlahan, daripada 0.7 peratus pada 2025 kepada hanya 0.5 peratus pada 2026, mencerminkan kelemahan struktur permintaan domestik serta tekanan demografi yang berpanjangan,” katanya.
Tambah laporan itu, pasaran baru muncul dan ekonomi sedang membangun (EMDE) kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan global dengan pengeluaran dijangka meningkat 4.1 peratus pada 2025 dan 4 peratus pada 2026.
“China dijangka mencatat pertumbuhan 4.8 peratus pada tahun depan sebelum menyederhana kepada 4.2 peratus pada 2026 apabila sokongan dasar kerajaan semakin berkurangan.
“India pula dijangka mengekalkan momentum kukuh dengan pertumbuhan 6.4 peratus bagi kedua-dua tahun, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pelaburan awam yang terus meningkat,” tambahnya.
Dari segi perdagangan, ekonomi dunia dijangka berkembang 2.6 peratus pada 2025 sebelum perlahan kepada 1.9 peratus pada 2026 berikutan kesan daripada aktiviti perdagangan awal (front-loading) yang semakin reda.
“Walaupun aliran perdagangan telah membantu menyokong pengeluaran global secara sementara, ketidakpastian berpanjangan mengenai tarif dan penstrukturan semula rantaian bekalan global dijangka mengekang momentum pertumbuhan pada masa hadapan.
“Pada masa sama, aliran pelaburan langsung asing (FDI) diramal kekal perlahan sehingga 2026, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, peralihan rantaian bekalan serta ketidaktentuan fiskal yang menjejaskan keyakinan pelabur antarabangsa,” katanya.
Dari sudut inflasi pula, trajektori harga global dijangka terus menurun dengan purata 4.2 peratus pada 2025 dan 3.6 peratus pada 2026.
Inflasi dijangka kekal sedikit melebihi sasaran di Amerika Syarikat, namun kawasan euro serta kebanyakan ekonomi sedang membangun menunjukkan penurunan yang lebih ketara hasil daripada permintaan yang sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah.
Namun begitu, prospek pertumbuhan global menjelang 2026 dilihat masih terdedah kepada risiko menurun, khususnya akibat peningkatan tarif baharu, ketegangan geopolitik yang boleh menjejaskan aliran tenaga dan perdagangan, ketidakseimbangan fiskal berpanjangan serta ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa.
Laporan itu berkata, bagi mengekalkan momentum pertumbuhan, dasar fiskal dan monetari perlu terus diselaraskan dengan berhati-hati bagi mengimbangi antara keperluan menyokong pemulihan dan memastikan kestabilan harga serta fiskal dalam jangka sederhana. – UTUSAN