JUMLAH dagangan negara dijangka meningkat sebanyak 3.9 peratus kepada RM2.99 trilion pada 2025, disokong oleh persekitaran perdagangan global yang lebih stabil serta daya tahan eksport Malaysia meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan dan geopolitik.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, eksport kasar diunjur berkembang 3.3 peratus, dipacu oleh kitaran menaik teknologi global yang berterusan serta permintaan stabil daripada ekonomi maju.
“Eksport barangan pembuatan dijangka meningkat 4.1 peratus hasil permintaan tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) yang melonjak 11.3 peratus.
Peningkatan eksport E&E disumbangkan oleh permintaan kukuh bagi semikonduktor, yang merangkumi lebih 60 peratus daripada jumlah eksport subsektor itu, diikuti oleh peralatan pemprosesan data automatik serta kelengkapan telekomunikasi.
“Lonjakan ini turut dipacu oleh aktiviti perdagangan awal (front-loading) susulan pengenaan tarif baharu di beberapa pasaran utama,” katanya.
Mengulas lanjut, eksport produk bukan E&E dijangka menyusut 2.3 peratus, terutama bagi produk petroleum, kimia dan produk kimia serta besi dan keluli, berikutan permintaan perlahan daripada rakan dagang utama.
“Bagi barangan pertanian, eksport diunjur meningkat 5 peratus disokong oleh permintaan lebih tinggi terhadap minyak sawit dan produk berasaskan sawit (5.1 peratus) serta hasil pertanian lain (7.5 peratus).
“Permintaan meningkat daripada negara seperti Afghanistan, Filipina, Mauritania, Sri Lanka dan Kenya dijangka mengukuhkan eksport minyak sawit sebanyak 3.0 peratus.
“Sementara itu, eksport barangan perlombongan dijangka merosot 9.9 peratus, dipengaruhi oleh penurunan permintaan global terhadap gas asli cecair (LNG) sebanyak 11.2 peratus dan petroleum mentah sebanyak 17.5 peratus, berikutan kepelbagaian pasaran dan penggunaan produk pengganti oleh rakan dagang utama,” ujarnya.
Dari sudut import, import kasar dijangka meningkat 4.6 peratus pada 2025, didorong oleh kemasukan barangan modal dan barangan penggunaan bagi menampung aktiviti pusat data, sektor pengangkutan serta perbelanjaan swasta yang rancak.
“Import barangan modal, yang merangkumi 14.4 peratus daripada jumlah import, diunjur melonjak 24.5 peratus berikutan pelaburan berterusan dalam sektor perindustrian dan infrastruktur, khususnya projek berkaitan pusat data.
“Selain itu, Import barangan penggunaan yang membentuk 8.3 peratus daripada jumlah keseluruhan turut meningkat 0.9 peratus, disokong oleh perubahan corak pengguna dan permintaan lebih tinggi terhadap produk tempatan.
“Bagaimanapun, import barangan perantaraan yang menyumbang bahagian terbesar (51.5 peratus) dijangka menyusut 1.5 peratus berikutan penggunaan inventori sedia ada oleh pemain industri,” katanya. – UTUSAN