Cukai pro-kesihatan tidak boleh terlalu tinggi - Utusan Malaysia

Cukai pro-kesihatan tidak boleh terlalu tinggi

RIDHWAN ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan cukai pro-kesihatan serta penguatkuasaan Akta 852 adalah langkah terbaik untuk memastikan industri vape dikawal selia, namun kadar cukai haruslah tidak terlalu tinggi sehingga menjadikan produk vape lebih mahal daripada rokok konvensional.

Setiausaha Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkara, cadangan untuk menaikkan cukai vape sehingga 10 kali ganda adalah tidak munasabah.

Katanya, kenaikan kadar cukai secara mendadak tidak akan memberi manfaat kepada mana-mana pihak, sama ada industri, orang awam ataupun kerajaan.

“Kami percaya cukai pro-kesihatan adalah mekanisme yang lebih berkesan dan berimbang berbanding larangan penuh. Dengan pelaksanaan cukai secara strategik, kerajaan dapat mengguna kutipan cukai untuk melaksanakan advokasi kesihatan awam sambil realiti ekonomi industri vape.

“Namun, jika harga vape melambung tinggi, ramai perokok akan kekal dengan rokok biasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, satu kajian oleh institusi pendidikan terkemuka dunia, Yale University dan Georgia State University mendapati bahawa peningkatan cukai vape menyebabkan penurunan kadar penggunaan vape tetapi peningkatan dalam tabiat merokok dalam kalangan golongan dewasa muda berumur antara 18 hingga 25 tahun.

Katanya, fenomena ini dikenali sebagai ‘kesan penggantian’ iaitu pengguna beralih kepada alternatif yang lebih murah atau lebih mudah diperoleh seperti rokok atau vape seludup.

Beliau berkata, matlamat utama ialah memberi insentif kepada perokok untuk beralih, bukan membebankan mereka.

“Jika cukai dinaikan kepada RM4 per mililiter, sebotol cecair berisipadu 15 mililiter mencecah RM60 untuk cukai sahaja, belum harga jualan runcit. Cadangan cukai yang munasabah adalah maksimum 80 sen per mililiter memandangkan terdapat cukai tambahan 10 peratus bagi peranti,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga harus mempertimbangkan kesan kenaikan ini kepada pengusaha bumiputera yang berskala kecil dan risiko yang bakal mereka hadapi.

Beliau turut menekankan bahawa Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024) menyediakan kerangka undang-undang yang kukuh untuk mengawal selia industri vape secara holistik.

Namun begitu, katanya, kerajaan negeri ketika ini tidak konsisten dengan ada larangan menjual vape daripada tujuh negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang dan Perak.

“Bagaimanakah kerajaan mengawal selia industri ini sekiranya terdapat percanggahan peraturan antara KKM dan kerajaan negeri? Kerajaan ingin mengutip lebih banyak cukai daripada industri. Tetapi mahu menyekat aktiviti ekonomi industri tersebut secara keseluruhan? Ini adalah tidak adil.”

“Akta 852 perlu dilaksanakan secara konsisten di setiap negeri dan dipantau secara bersepadu. Perlaksanaan dasar yang tidak seimbang akan memberi kesan negatif kepada kesihatan awam.
Perlindungan terhadap remaja mesti diutamakan melalui melaksanakan peraturan-peraturan Akta 852,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kepentingan memastikan produk vape tidak mudah dicapai oleh golongan bawah umur, termasuk melalui larangan iklan, larangan pameran terbuka dan pengesahan umur ketika jualan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN