CLAB perkukuh pengurusan pekerja asing berkemahiran - Utusan Malaysia

CLAB perkukuh pengurusan pekerja asing berkemahiran

Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), anak syarikat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), menyasarkan untuk memperkukuh peranannya sebagai pusat sehenti dalam menguruskan kemasukan dan pengendalian tenaga kerja asing di sektor pembinaan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif CLAB, Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis berkata, peranan itu amat penting bagi memastikan industri pembinaan negara terus berdaya saing, khususnya dalam menghadapi cabaran permintaan tenaga kerja berkemahiran yang semakin meningkat.

Menurut beliau, kebergantungan kepada tenaga kerja asing adalah realiti yang perlu ditangani dengan mekanisme tersusun kerana pekerja asing bukan sahaja melengkapkan tenaga kerja tempatan, malah menjadi tunjang dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan utama negara.

“Oleh itu, kami mahu memastikan pekerja asing yang dibawa masuk benar-benar sah dari segi dokumentasi, kompeten mengikut tahap kemahiran serta mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

“Dengan cara ini, industri dapat bergerak lebih teratur dan tidak menanggung risiko besar daripada aspek kualiti dan keselamatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Abdul Rafik berkata, antara usaha utama yang sedang giat dilaksanakan ketika ini ialah pelaksanaan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP), iaitu pengiktirafan rasmi oleh CIDB kepada pekerja binaan asing yang telah menjalani penilaian kemahiran di Akademi Binaan Malaysia (ABM).

“SKKP bukan sekadar dokumen biasa sebaliknya ia berfungsi sebagai standard industri yang menetapkan tahap kemahiran, disiplin serta pematuhan keselamatan minimum untuk seseorang pekerja binaan.

“Apabila pekerja memiliki SKKP, ia memberi keyakinan kepada majikan bahawa mereka benar-benar mahir, memahami prosedur keselamatan di tapak binaan dan mampu menghasilkan kerja yang menepati spesifikasi,” jelasnya.

Tambah beliau, sijil berkenaan bukan sahaja mengangkat imej pekerja asing sebagai tenaga kerja berkemahiran malah membuka laluan kerjaya yang lebih luas, bukan sahaja di Malaysia, bahkan di negara lain yang mengiktiraf standard latihan dan akreditasi CIDB.

“Daripada sudut majikan, pelaksanaan SKKP memberi banyak manfaat praktikal kerana ia dapat mengurangkan risiko kerja tidak berkualiti, sekali gus mengelakkan kos tambahan yang biasanya timbul akibat kesilapan atau kelemahan tenaga kerja.

“Selain itu, projek pembinaan dapat disiapkan dengan lebih cepat kerana tenaga kerja yang digunakan lebih cekap. Ini secara langsung meningkatkan produktiviti keseluruhan sektor,” tambahnya.

Dalam pada itu, CLAB juga menekankan aspek penambahbaikan terhadap Kad Hijau CIDB, iaitu dokumen rasmi yang diwajibkan kepada semua pekerja binaan sebagai bukti kelayakan berada di tapak pembinaan.

Abdul Rafik berkata, Kad Hijau kini diperkasa dengan pelbagai fungsi baharu, termasuk sistem pembayaran gaji digital atau E-Wages/E-Wallet yang dilihat mampu meningkatkan ketelusan dan keberkesanan pengurusan sumber manusia dalam sektor berkenaan.

“Kaedah baharu itu membolehkan majikan menyalurkan gaji pekerja secara terus dan lebih teratur, di samping memberi perlindungan kepada pekerja supaya bayaran mereka direkodkan secara sah dan boleh diaudit pada bila-bila masa.

“Pendigitalan sistem gaji ini bukan sahaja memudahkan pekerja, malah menyokong agenda persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kini menjadi tuntutan global.

“Setakat ini, terdapat lebih 500,000 pekerja asing berdaftar dengan CIDB yang memegang Kad Hijau. CLAB mahu memastikan setiap daripada mereka direkodkan dengan jelas termasuk lokasi bekerja serta tahap kemahiran masing-masing.

“Apabila kita memiliki data lengkap mengenai pekerja asing, perancangan pengambilan baharu dapat dibuat dengan lebih tepat. Ia juga mengelakkan situasi lambakan tenaga kerja tidak berkemahiran yang akhirnya memberi tekanan kepada pasaran buruh tempatan,” ujarnya.

Beliau mengakui masih terdapat segelintir pihak yang kurang memahami kepentingan proses akreditasi seperti SKKP dan penambahbaikan Kad Hijau.

Namun, katanya, CLAB optimis penerimaan industri akan meningkat apabila lebih banyak latihan, taklimat dan sokongan berterusan diberikan.

“Penerimaan ini penting kerana kejayaan inisiatif tersebut akan memberi jaminan bahawa pekerja asing yang dibawa masuk benar-benar kompeten dan bersedia menyumbang kepada sektor pembinaan negara.

“Matlamat CLAB adalah memastikan keseluruhan proses kemasukan pekerja asing dalam sektor pembinaan diuruskan secara telus dan sistematik, dengan penekanan utama terhadap kelayakan akreditasi yang sah.

“Apabila kita berjaya mencapai sasaran ini, industri pembinaan negara bukan sahaja menjadi lebih tersusun malah mampu meningkatkan tahap daya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berpotensi muncul sebagai contoh terbaik di rantau ini dalam aspek pengurusan tenaga kerja asing berkemahiran sekiranya usaha ini dilaksanakan secara konsisten.

“Usaha memperkukuh pengurusan pekerja asing juga sejajar dengan aspirasi pembangunan negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bakal memberi penekanan terhadap produktiviti, inovasi serta integriti dalam pelaksanaan projek pembinaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN