CIMB lancar dua penyelesaian digital pacu pertumbuhan PKS - Utusan Malaysia

CIMB lancar dua penyelesaian digital pacu pertumbuhan PKS

NOVAN Amirudin (tengah) Lawrence Loh (kanan) bergambar selepas pelancaran CIMB OCTO Biz pada Persidangan Ekonomi PKS ASEAN CIMB di Menara MITI, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) melancarkan dua penyelesaian perniagaan baharu, CIMB OCTO Biz dan SME FlexiCash/-i, masing-masing direka bagi mempercepatkan pengembangan perniagaan serta memacu pertumbuhan mampan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, perbankan berperanan sebagai pemangkin strategik kepada pertumbuhan, transformasi dan keterangkuman kewangan.

“Fokus kami ialah melengkapkan perniagaan dan komuniti dengan keupayaan serta pandangan yang diperlukan untuk menavigasi persekitaran ekonomi dinamik.

“Pelancaran CIMB OCTO Biz menegaskan komitmen kami menyediakan penyelesaian kewangan selamat, lancar dan inklusif bagi menyokong pengembangan perniagaan mampan di seluruh ASEAN.

“Ini selaras dengan strategi Forward30 untuk memanfaatkan inovasi digital dalam penciptaan nilai mampan,” katanya pada sidang media pelancaran CIMB OCTO Biz pada Persidangan Ekonomi PKS ASEAN CIMB di sini, semalam.

Menurutnya, selepas pelancaran di Malaysia, CIMB OCTO Biz akan diperkenalkan di Indonesia dan Singapura menjelang separuh pertama 2026, diikuti Kemboja serta pasaran ASEAN lain secara berperingkat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama, Perbankan Komersial dan Transaksi Kumpulan CIMB, Lawrence Loh berkata, CIMB kini membentuk semula perbankan perniagaan dengan pendekatan digital-first bagi memacu pertumbuhan.

“CIMB OCTO Biz menghimpunkan pandangan perbankan dan alat perniagaan dalam satu ekosistem, membolehkan pelanggan mengurus operasi dengan mudah, mengakses pembiayaan secara lancar serta membuat keputusan berasaskan data.

“Lebih daripada sekadar platform, CIMB OCTO Biz bertindak sebagai pemangkin kepada perniagaan ASEAN untuk berkembang dengan yakin di pasaran tempatan dan global,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu mencerminkan aspirasi CIMB untuk menjadi bank PKS digital-first terkemuka di rantau ini, disokong oleh jejak kukuh di ASEAN serta pemahaman mendalam terhadap keperluan perniagaan.

Aplikasi berkenaan turut menampilkan SME FlexiCash/-i, produk pembiayaan berasaskan hasil yang menganalisis sejarah akaun dan corak transaksi bagi menawarkan had pembiayaan pra-kelayakan secara serta-merta tanpa proses rumit seperti pinjaman tradisional.

CIMB OCTO Biz juga menawarkan penyelesaian hiper-personal dengan mencadangkan produk dan perkhidmatan bersesuaian mengikut profil pelanggan.

Setakat ini, lebih separuh pelanggan PKS CIMB telah menggunakan platform tersebut, dengan nilai transaksi berjumlah RM17 bilion menerusi tujuh juta urus niaga pada tahun ini sahaja.

Aplikasi itu dijangka dilancarkan sepenuhnya menjelang akhir tahun dengan rangkaian ciri baharu diperkenalkan secara berperingkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN