PETALING JAYA: Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) merekodkan Keuntungan Selepas Cukai, Zakat dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) sebanyak RM189.3 juta bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2025, iaitu penurunan 21.5 peratus daripada RM241.2 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Penurunan itu terutamanya disebabkan oleh pengurangan 10.4 peratus dalam hasil operasi kepada RM518.1 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, berbanding RM578.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.
Selain itu, penyederhanaan prestasi kewangan Bursa Malaysia dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, terutamanya berpunca daripada penurunan 25 peratus dalam hasil dagangan Pasaran Sekuriti, yang menurun kepada RM225.2 juta daripada RM300.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.
Ini disebabkan oleh penurunan 25.6 peratus dalam Purata Nilai Dagangan Harian (ADV) Dagangan di Pasaran kepada RM2.5 bilion, berbanding RM3.4 bilion dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Mengulas prestasi itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, perkembangan global mempengaruhi sentimen pasaran menyebabkan penurunan ADV dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025.
“Bagaimanapun, kami mula melihat peningkatan apabila kejelasan lebih besar muncul daripada rundingan tarif Amerika Syarikat (AS), dengan hasil dagangan Pasaran Sekuriti meningkat 13 peratus suku ke suku.
“Selain itu, PBT meningkat suku ke suku sebanyak 13.5 peratus, meningkat kepada RM86.3 juta dalam suku ketiga 2025, berbanding RM76 juta dalam suku kedua 2025.
“Dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, dagangan derivatif, BSAS serta sumber hasil dagangan dan bukan dagangan lain terus menunjukkan pertumbuhan, memberikan daya tahan dan membuktikan keberkesanan strategi Bursa dalam mempelbagaikan tawaran merentasi pelbagai kelas aset,” katanya dalam kenyataan.
Bursa Malaysia mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM86.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025, berbanding RM2.3 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025.
Ia dipacu oleh peningkatan 13.1 peratus dalam ADV bagi Dagangan di Pasaran Sekuriti kepada RM2.6 bilion dalam suku ketiga 2025
Sementara itu, jumlah perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 3.5 peratus kepada RM282.8 juta dalam tempoh itu, berbanding RM273.4 juta dalam tempoh sama 2024.
Peningkatan itu didorong terutamanya oleh kos penyelenggaraan IT yang lebih tinggi dan perbelanjaan operasi lain, yang sebahagiannya diimbangi oleh kos kakitangan yang lebih rendah.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, usaha bursa disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh dan ekosistem pasaran modal yang mantap.
“Ini di samping dasar monetari yang akomodatif serta dasar kerajaan yang jelas untuk memperkukuh sektor-sektor keutamaan,” ujarnya.
Bursa Malaysia terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia melalui platform pengumpulan modalnya.
Dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, Bursa menyambut 41 penyenaraian baharu, yang secara kolektif berjaya mengumpul RM4.4 bilion dan menambah RM22.3 bilion kepada jumlah keseluruhan permodalan pasaran.
Selain itu, bursa terus berusaha menarik syarikat tersenarai di bursa lain untuk melakukan penyenaraian sekunder di Bursa Malaysia, bagi memperluas asas pelabur dan meningkatkan kecairan dagangan.
Pada 1 Ogos lalu, Bursa Malaysia mencapai pencapaian penting dengan menyambut UMS Integration Ltd ke Pasaran Utama, menjadikannya syarikat pertama yang disenaraikan di Bursa Singapura (SGX) yang mempunyai penyenaraian sekunder di Bursa Malaysia.
Dalam pada itu, bagi Pasaran Derivatif, hasil dagangan meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada RM83.1 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, daripada RM80.9 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2024.
Ia terutamanya disebabkan oleh peningkatan volum kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO).
Peningkatan ini berpunca daripada kelewatan pelaksanaan dasar biodiesel B40 Indonesia dan pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih rendah di Malaysia yang telah merangsang aktiviti lindung nilai di kalangan peserta komersial.
Selain itu, dari segi Pasaran Islam, hasil operasi mencatatkan peningkatan 30 peratus kepada RM16.9 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, daripada RM13 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.
Ini didorong oleh peningkatan hasil dagangan BSAS kepada RM15 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, berbanding RM12.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelum.
Selain itu, hasil dagangan Bursa Gold Dinar meningkat lebih dua kali ganda kepada RM1.9 juta dalam sembilan bulan berakhir 30 September 2025, daripada RM700,000 dalam tempoh sama tahun sebelum, berikutan peningkatan volum transaksi emas. – UTUSAN










