PETALING JAYA: Usahawan dan syarikat tempatan bakal menikmati manfaat langsung akses ke pasaran serantau berikutan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN yang secara tidak langsung menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi.
Lebih utama, usahawan tempatan mendapat manfaat daripada penghapusan tarif beberapa barangan import yang dimeterai dalam perjanjian tarif Malaysia-Amerika Syarikat (AS).
Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohammad Sahar Mat Din berkata, sektor itu juga akan dapat memperkukuh rantaian bekalan dan pelaburan strategik di rantau ini serta menonjolkan produk halal dan jenama tempatan di peringkat antarabangsa.
“Pelaksanaan sidang ini dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kerajaan Madani telah berjaya memperkukuh keupayaan negara dalam memanfaatkan peluang perdagangan bebas ASEAN, terutamanya melalui pengurangan tarif, integrasi ekonomi serantau dan pengembangan pasaran eksport,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Sahar Mat Din berkata, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh hubungan ASEAN juga telah membuka ruang luas kepada usahawan tempatan.
“Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk menjadi pusat perdagangan Islam dan hab ekonomi serantau.
“DPIM percaya bahawa dasar dan pendekatan kerajaan Madani kini memberi semangat dan keyakinan baharu kepada komuniti usahawan Muslim di Malaysia untuk bersaing di pasaran global,” ujarnya.
Pengecualian tarif yang diberikan AS kepada sebanyak 1,711 produk eksport utama Malaysia dijangka berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas pertukaran surat rasmi antara kedua-dua negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ia susulan pemeteraian Perjanjian timbal balik Malaysia-Amerika Syarikat AS yang diumumkan baru-baru ini.
Ia menyaksikan Malaysia berjaya memperoleh pengecualian tarif bagi pelbagai produk bernilai strategik termasuk minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat ganti pesawat serta farmaseutikal.
Pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada hasil rundingan yang turut menyaksikan penurunan tarif import AS daripada 25 peratus kepada 19 peratus, sekali gus menjamin daya saing eksport Malaysia di pasaran AS. – UTUSAN










