Aquawalk sasar raih RM114.3j melalui IPO di Pasaran ACE

Pemilik Aquaria sasar raih RM114.3j melalui IPO di Pasaran ACE

SIMON Foong, (tiga dari kiri) bersama barisan Pengurusan kanan Aquawalk Group Berhad semasa sesi pelancaran prospektus di Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/FAQIHAH FAUZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemilik Aquaria, Aquawalk Group Berhad (Aquawalk) menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM114.3 juta menerusi terbitan awam permulaan (IPO) yang merangkumi 368.6 juta saham baharu pada harga 31 sen sesaham di Pasaran ACE.

Berdasarkan modal saham diterbitkan yang diperbesarkan sebanyak 1.843 bilion unit dan harga tawaran itu, permodalan pasaran pengendali akuarium bertaraf dunia itu dianggarkan RM571.3 juta.

Syarikat dijadual disenaraikan pada 19 November 2025.

Daripada hasil IPO tersebut, dana akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal bagi menaik taraf serta membangunkan tarikan baharu dan sedia ada, selain penambahbaikan teknologi maklumat (IT), modal kerja, serta perbelanjaan penyenaraian.

Sebahagian besar peruntukan hasil akan disalurkan bagi membiayai projek baharu yang menyokong visi Aquawalk untuk menjadi pusat pendidikan lautan terkemuka di rantau ini serta menginspirasikan tindakan kolektif terhadap pemuliharaan lestari.

Pengerusi Eksekutif Aquawalk, Datuk Simon Foong berkata, penyenaraian tersebut merupakan satu langkah penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat untuk memperkukuh asas modal dan memperluas kehadirannya di rantau Asia Pasifik.

“Aquawalk bakal menjadi pengendali akuarium pertama di rantau ini yang disenaraikan di pasaran saham, dengan peluang luas untuk mengembangkan portfolio kami di pasaran lain dalam Asia Pasifik.

“Kami bukan sekadar pengendali akuarium, tetapi syarikat yang mencipta pengalaman, membina destinasi dan menginspirasi pembelajaran.

“Tujuan kami adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang melihat, merasai, menyayangi dan membantu melindungi lautan,” katanya.

Aquawalk Group ialah pemaju dan pengendali akuarium bertaraf dunia, termasuk Aquaria KLCC, yang menerima lebih sejuta pengunjung setiap tahun sejak penubuhannya pada 2005.

Selain itu, kumpulan juga memiliki dan mengendalikan Aquaria Phuket, serta memegang 40 peratus kepentingan dalam Jakarta Aquarium & Safari (JAQS).

Tempoh permohonan bagi IPO bermula hari ini (30 Oktober 2025) dan akan ditutup pada 7 November 2025.

M & A Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat, Penaja, Pengurus Penaja Jamin, Penaja Jamin Bersama dan Ejen Penempatan Bersama, manakala CGS International Securities Malaysia merupakan Penaja Jamin Bersama dan Ejen Penempatan Bersama bagi penyenaraian ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN