KUALA LUMPUR:Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) menandatangani perjanjian kerjasama dengan empat institusi pembiayaan tempatan bagi menggerakkan pembiayaan sehingga AS$6 bilion (RM25.18 bilion) untuk projek infrastruktur lestari dan berasaskan teknologi di Malaysia dan ASEAN.
Institusi-institusi pembiayaan terlibat ialah ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Bank Berhad (CIMB), AmBank (M) Berhad (AmBank) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).
Bank-bank itu akan menyokong pelaburan dalam sektor utama seperti tenaga boleh diperbaharui, penghantaran dan pengagihan kuasa, pengangkutan, infrastruktur digital dan telekomunikasi.
Ketua Pegawai Pelaburan, Sektor Awam (Wilayah 1) dan Pelanggan Institusi Kewangan dan Dana (Global) AIIB, Kim-See Lim berkata, perjanjian itu menegaskan komitmen bersama untuk membiayai infrastruktur yang hijau, berteknologi dan saling berhubung di peringkat serantau.
“Kami menantikan kerjasama ini untuk menyokong pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan dan berpandangan ke hadapan di seluruh ASEAN.
“AIIB berasa amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan institusi-institusi terkemuka Malaysia ini.
“Melalui perjanjian kerjasama ini, kami dapat memanfaatkan kekuatan masing-masing kerana setiap bank membawa kepakaran tersendiri, sama ada dari segi kehadiran di seluruh Asia atau dalam bidang pembiayaan aset tertentu di Malaysia dan di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani AIIB LOI bersama Peneraju Malaysia di sini, semalam.
Kerjasama itu turut akan menyumbang kepada kemajuan inisiatif infrastruktur serantau utama seperti Asean Power Grid (APG), platform rentas sempadan bagi memperkukuh kesalinghubungan dan keselamatan tenaga di Asia Tenggara.
Melalui Pendekatan Program Pelbagai Fasa (MPA), AIIB berhasrat menyediakan sehingga AS$2 bilion (RM8.39 bilion) bagi pelaburan berkaitan APG dengan kerjasama sektor awam dan swasta.
Mengulas lanjut, beliau berkata, AIIB ialah sebuah bank serantau yang melihat peluang pelaksanaan projek di seluruh rantau Asia.
“Kami tidak memberi keutamaan kepada mana-mana negara berbanding negara lain. Kami melaksanakan projek di setiap negara, termasuk projek serantau yang merentasi sempadan,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Mareena Mahpudz berkata, Petra menyambut baik kerjasama itu sebagai langkah penting dalam menggerakkan pembiayaan lestari bagi mempercepatkan agenda infrastruktur hijau ASEAN.
“Melalui pelaburan bersama dalam tenaga boleh diperbaharui, penghantaran dan teknologi pintar, kita dapat memperkukuh kesalinghubungan serantau dan membina masa depan ASEAN yang lebih berdaya tahan serta rendah karbon,” ujarnya.
Tempoh awal perjanjian itu akan berlangsung sehingga Oktober 2031 dan ia selaras Strategi Korporat AIIB yang mempunyai empat keutamaan teras, infrastruktur hijau, kesalinghubungan dan kerjasama serantau, infrastruktur berasaskan teknologi, serta penggemblengan modal swasta.
Dengan bekerjasama bersama institusi pembiayaan serantau yang dipercayai, AIIB terus memanfaatkan kepakaran dan pelaburan sektor swasta bagi memperluas penyelesaian lestari yang memupuk daya tahan iklim, keterangkuman ekonomi dan pembangunan serantau jangka panjang.-UTUSAN

 
								 
											









