PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melantik semula Tan Sri Abdul Rashid Hussain sebagai Pengerusi dan Anggota Lembaga TH untuk dua tahun lagi, berkuat kuasa 20 Disember 2025.
TH berkata, kepimpinan Abdul Rashid Hussain berjaya melaksanakan reformasi strategik dan tadbir urus yang signifikan dalam TH, menjadikannya sebuah institusi yang lebih utuh dan mampan.
Sejak menerajui TH pada 20 Disember 2023, Abdul Rashid Hussain memacu beberapa pencapaian utama, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan dan meningkatkan pulangan kepada pendeposit.
Katanya, ini dibuktikan melalui kejayaan TH mencatat keuntungan yang memberangsangkan dan memastikan pengagihan dividen yang kompetitif dan mampan.
“Bagi tahun kewangan 2024, TH telah mengagihkan keuntungan berjumlah RM2.92 bilion kepada para pendeposit, selain berjaya meningkatkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) kepada kira-kira RM95.06 bilion.
“TH juga mencapai pengiktirafan antarabangsa dalam pengurusan haji apabila dianugerahkan Labaytum Diamond Award oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Musim Haji 1446H/2025M, pengiktirafan tertinggi bagi agensi pengurusan haji,” katanya dalam kenyataan.
Abdul Rashid Hussain merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar atas keyakinan dan amanah untuk meneruskan transformasi TH menerusi pemerkasaan strategi dan modal insan demi manfaat para pendeposit, jemaah haji dan umat Islam di Malaysia.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan amat berbesar hati atas peluang untuk terus menabur bakti bersama-sama warga TH yang cukup komited, ke arah memperkukuhkan kedudukan kewangan TH supaya lebih mampan dan lestari.
“Ini melalui usaha penambahbaikan dan inovasi untuk terus mengembangkan dana pendeposit serta memudahkan urusan para jemaah bagi menunaikan ibadat haji yang mabrur.
“Matlamat kami adalah untuk memperkukuhkan TH sebagai sebuah institusi simpanan Islam yang dihormati. Ini juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya TH sentiasa menambahbaik tatakelola dan tadbir urus agar memberi manfaat kepada pendeposit,” ujarnya.
Beliau mula dilantik sebagai Pengerusi TH pada 20 Disember 2023 untuk dua tahun.
Pelantikan semula beliau sebagai Pengerusi dan Anggota Lembaga TH bagi tempoh dua tahun seterusnya akan bermula pada 20 Disember 2025 sehingga 19 Disember 2027. – UTUSAN