PETALING JAYA: Sebanyak 41 peratus rakyat Malaysia menghadapi kesukaran untuk menabung secara konsisten dan merancang kewangan jangka panjang, walaupun simpanan kecemasan merupakan matlamat kewangan kedua terpenting.
Menurut Indeks Ketahanan Kewangan 2025 Sun Life Malaysia, tumpuan terhadap perbelanjaan jangka pendek meningkat akibat inflasi berterusan.
Indeks itu melibatkan lebih 6,000 responden dari Malaysia dan negara-negara Asia lain mendapati 62 peratus responden Malaysia meletakkan perbelanjaan harian sebagai keutamaan utama, manakala pembinaan dana kecemasan berada di tempat kedua.
Susulan itu, CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dan Sun Life Malaysia Takaful Berhad (Sun Life Malaysia Takaful) bekerjasama memperkenalkan Sun Enrich Extra-i, pelan takaful inovatif dengan bayaran jangka pendek yang fleksibel untuk menjadikan perlindungan kewangan seumur hidup lebih mudah, pantas dan mampu milik.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata,
Kerjasama itu mencerminkan visi bersama untuk menjadikan perlindungan dan simpanan kewangan lebih mudah dicapai dan relevan bagi rakyat Malaysia.
“Ramai individu hari ini berdepan tekanan kewangan yang pelbagai, menjadikan perancangan jangka panjang sesuatu yang mencabar.
“Sun Enrich Extra-i direka untuk menangani cabaran ini dengan menggabungkan perlindungan bermakna bersama fleksibiliti untuk menabung, mengembangkan kekayaan dan berfungsi sebagai alat pengagihan harta yang efektif.
“Melalui pelan ini, kami berhasrat untuk memperkasa pelanggan kami membina ketahanan dan keselamatan kewangan yang berterusan di setiap fasa kehidupan,” katanga dalam kenyataan.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Negara Sun Life Malaysia, Ho Teck Seng berkata, dengan memanfaatkan rangkaian luas CIMB, pihaknya dapat menawarkan penyelesaian inovatif itu kepada segmen besar populasi Malaysia.
“Ia merangkumi pelanggan runcit hingga golongan berpendapatan tinggi bagi membantu mereka melindungi kekayaan, membina simpanan kecemasan dan mencapai kestabilan kewangan lebih kukuh.
“Kami berbangga memperkenalkan produk takaful yang benar-benar revolusioner dan memudahkan perjalanan menuju ketahanan kewangan,” ujarnya.
Sun Enrich Extra-i menawarkan perlindungan jangka panjang sehingga 30 tahun dengan tempoh sumbangan minimum selama lima tahun.
Ia turut dilengkapi dengan ciri tambah nilai fleksibel bagi membantu pelanggan menambah kekayaan serta mengurus kenaikan kos sambil kekal dilindungi.
Selain itu, dengan pendekatan yang unik dan seimbang ini, pelan ini amat sesuai untuk individu dan keluarga, termasuk pesara yang menghargai keselamatan kewangan berpanjangan.
Dalam pada itu, pelan itu turut membolehkan pelanggan menikmati ketenangan fikiran yang lebih besar dalam perancangan legasi sebagai pilihan alternatif dan berkesan untuk perancangan harta pusaka.
Dengan ciri penamaan hibah, ia memberikan pelanggan Muslim cara praktikal untuk mengurus pengagihan harta dengan kawalan dan fleksibiliti tambahan, selaras dengan prinsip syariah. – UTUSAN










