Verdant sasar raih RM44.02 juta melalui IPO di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

Verdant sasar raih RM44.02 juta melalui IPO di Pasaran ACE

LIM Tzer Haur, (tiga dari kiri) bersama barisan Pengurusan kanan Verdant Solar Holdings Berhad semasa sesi pelancaran prospektus di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Verdant Solar Holdings Bhd. (Verdant) menyasarkan kutipan hasil berjumlah RM44.02 juta menerusi terbitan awam permulaan (IPO) dengan 142 juta saham baharu pada harga 31 sen sesaham di Pasaran ACE, Bursa Malaysia Securities Bhd. (Bursa Securities).

Berdasarkan modal saham diterbitkan yang diperbesarkan sebanyak 817.62 juta unit dan harga tawaran itu, permodalan pasaran Verdant dianggarkan kira-kira RM253.46 juta.

Syarikat dijadual disenaraikan pada 22 Oktober 2025.

Daripada hasil IPO tersebut, sebanyak 31.8 peratus diperuntukkan bagi penubuhan pejabat cawangan baharu, perluasan melalui pelaburan strategik, penggabungan dan pengambilalihan (22.72 peratus), manakala 8.63 peratus bagi meningkatkan infrastruktur digital syarikat.

Baki akan digunakan sebagai modal kerja am dan perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Urusan Verdant, Lim Tzer Haur berkata, penyenaraian itu merupakan pencapaian penting bagi syarikat selepas hampir sedekad bergiat dalam penyelesaian tenaga solar di negara ini.

“IPO ini akan menyediakan platform untuk Verdant mengekalkan serta mempercepatkan pertumbuhan syarikat. Kami kekal komited menjadikan penyelesaian solar lebih mudah diakses oleh semua,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran prospektus syarikat itu di sini, semalam.

Menurutnya, hasil yang diperoleh membolehkan Verdant merancang untuk mengukuhkan kedudukan pasaran melalui pembukaan pejabat cawangan baharu di Melaka, Kuantan dan Ipoh.

“Sebelum mengembangkan operasi ke segmen lain, keutamaan kami adalah memastikan pelanggan kediaman menerima perkhidmatan terbaik.

“Kami percaya pengalaman pelanggan merupakan bentuk pemasaran paling berkesan. Dengan penambahan cawangan baharu, kami dapat berada lebih dekat dengan pelanggan.

“Jadi, antara kelebihan utama ialah kemampuan memberi tindak balas lebih pantas kepada permintaan pelanggan.

“Sebagai contoh, ketika ini perjalanan dari Petaling Jaya ke Pulau Pinang atau Johor mengambil masa berjam-jam. Dengan adanya cawangan baharu, kami mampu memberi respon pada hari yang sama. Ini adalah kelebihan besar kerana tidak banyak pesaing mempunyai rangkaian cawangan yang luas,” jelasnya.

Beliau berkata, syarikat juga akan terus berkembang menerusi pelaburan strategik serta langkah penggabungan dan pengambilalihan.

“Ini sekali gus untuk meningkatkan infrastruktur digital syarikat termasuk sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP), sistem Pengurusan Perhubungan Pelanggan (CRM) serta Aplikasi Verdant Home.

“Selain itu, dengan Program Solar ATAP yang dijangka melonjakkan permintaan pemasangan solar pada 2026, inisiatif ini akan mengukuhkan kedudukan kami untuk merebut peluang di Malaysia, sekali gus memberi nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan,” ujarnya.

Verdant ialah penyedia perkhidmatan Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) serta Operasi dan Penyelenggaraan (O&M) sistem fotovolta suria (PV). Ia turut menjalankan perdagangan produk solar termasuk jenama dalaman sistem pengudaraan solar, Verdant Star.

Tempoh permohonan untuk IPO bermula hari ini (29 September 2025) dan akan ditutup pada pukul 5 petang 7 Oktober 2025.

Mercury Securities Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Pengunderait Tunggal dan Penempat Tunggal bagi penyenaraian ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN