UOB rai ulang tahun ke-15 Anugerah Painting of the Year - Utusan Malaysia

UOB rai ulang tahun ke-15 Anugerah Painting of the Year

NG Wei Wei (tengah) bersama pemenang anugerah UOB Painting of the Year (OUB POY) yang ke-15, Nik Mohd Shazmie Nik Shairozi (kanan) dan Putra Aqmal Danish Mohd Zuraimi (kiri) pemenang anugerah 2025 UOB Pelukis Harapan (Malaysia) Kategori Pelukis Baru di Sentul Pavillion semalam. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UOB Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam memartabatkan seni tempatan apabila menganjurkan edisi ke-15 Anugerah UOB Painting of the Year (UOB POY), salah satu pertandingan seni paling berprestij di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, penganjuran tahun ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila buat pertama kali seorang hakim antarabangsa dijemput menyertai panel juri.

“Ia menggambarkan komitmen berterusan kami untuk mengangkat bakat seni Malaysia ke pentas global. Lebih istimewa, pertandingan kali ini turut menerima penyertaan daripada komuniti kurang upaya pendengaran, dengan salah seorang daripada mereka turut dipilih sebagai pemenang.

“Ini selari dengan keyakinan kami bahawa seni tidak mengenal sempadan dan kepelbagaian hanya memperkukuh impaknya,” katanya pada majlis penyampaian anugerah itu di sini, semalam.

Beliau menegaskan, UOB POY yang telah berlangsung selama 15 tahun di Malaysia bukan sekadar platform persaingan, sebaliknya menjadi landasan penting untuk melahirkan artis yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Dalam majlis tersebut, pelukis mapan, Nik Mohd Shazmie Nik Shairozi dinobatkan sebagai Pemenang 2025 UOB POY (Malaysia) bagi karyanya berjudul Rumah Kita (Our Home) sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000.

Karya berinspirasikan buah durian itu melambangkan semangat perpaduan rakyat Malaysia dan bakal mewakili negara ke pertandingan peringkat serantau, UOB POY Asia Tenggara 2025 di Singapura.

Nik Shazmie yang sebelum ini pernah memenangi Anugerah Emas Kategori Pelukis Mapan pada 2015 berkata, karya tersebut menggambarkan perjalanan rakyat Malaysia menuju perpaduan meskipun berdepan cabaran.

“Seperti durian yang berduri di luar tetapi manis di dalam, perjalanan kita penuh liku tetapi tetap utuh dan penuh semangat,” katanya.

Dalam pada itu, Putra Aqmal Danish Mohd Zuraimi diumumkan sebagai pemenang Pelukis Harapan UOB 2025 (Kategori Pelukis Baharu) menerusi karyanya I Love You, Bearbear yang menzahirkan isu perjuangan gelandangan dan kehidupan di jalanan.
Katanya, karya itu bukan sekadar lukisan biasa tetapi simbol keperluan kasih sayang, perlindungan dan hubungan emosional yang wujud dalam setiap individu tanpa mengira latar belakang.

“Semua manusia perlukan cinta termasuk juga binatang. Dalam karya saya, kita dapat lihat seorang manusia memeluk seekor patung beruang. Ini melambangkan sifat semula jadi manusia yang memerlukan rasa kasih sayang dan selamat walaupun seseorang itu sudah dewasa,” katanya.

Pertandingan UOB POY mula diperkenalkan di Malaysia pada 2011 dan sehingga kini telah melahirkan beberapa nama besar seni tempatan yang mendapat pengiktirafan antarabangsa termasuk Hasanul Isyraf Idris, Chong Kim Chiew dan Seah Ze Lin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN