Trafik penumpang udara cecah 9.3 juta pada Julai

Trafik penumpang udara cecah 9.3 juta pada Julai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor penerbangan negara ke arah pemulihan sepenuhnya dalam sektor pelancongan udara dengan pencapaian jumlah trafik penumpang bulanan mencecah 9.3 juta pada Julai 2025. 

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) berkata, pencapaian ini merekodkan peningkatan 3.9 peratus bulan ke bulan berbanding Jun, serta pertumbuhan 5.3 peratus tahun ke tahun berbanding Julai 2024. 

Katanya, pencapaian ini juga menandakan peningkatan kepada 96.8 peratus daripada paras prapandemik Julai 2019 iaitu 9.6 juta penumpang, menandakan trajektori pemulihan yang memberangsangkan bagi sektor penerbangan domestik dan antarabangsa.

“Bagi tempoh antara Januari hingga Julai 2025, sektor penerbangan merekodkan keseluruhan 61.2 juta penumpang, menuju unjuran tahunan antara 105.8 hingga 112.9 juta penumpang.

“Trafik penumpang antarabangsa terus mengatasi permintaan domestik, mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global,” katanya dalam kenyataan.

CAAM berkata. trafik penumpang antarabangsa pada Julai meningkat sebanyak 9.6 peratus bulan ke bulan dan 3.4 peratus tahun ke tahun, dengan jumlah 4.7 juta penumpang, hampir menyamai angka prapandemik dengan 98.7 peratus daripada paras Julai 2019.

Menurutnya, beberapa faktor utama menyumbang kepada pertumbuhan ini, termasuk peningkatan kapasiti tempat duduk bagi laluan domestik dan antarabangsa, pelaksanaan pengecualian visa 30 hari untuk pelancong dari pasaran utama seperti China dan India serta pengenalan laluan penerbangan antarabangsa baharu. 

“Antara laluan baharu tersebut adalah penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Daegu (Korea Selatan), Subang ke Bangkok (Thailand) dan Kuala Lumpur ke Palembang (Indonesia).

“Dari segi agihan penumpang, penerbangan antara Malaysia dan negara ASEAN mencatat 2.2 juta penumpang, manakala laluan antara Malaysia dan negara bukan ASEAN merekodkan pertumbuhan lebih kukuh dengan kenaikan sebanyak 13.3 peratus bulan ke bulan dan 9.6 peratus tahun ke tahun kepada 2.5 juta penumpang,” jelasnya.

Tambahnya, trafik penumpang domestik mengalami sedikit penurunan sebanyak 1.3 peratus bulan ke bulan, disebabkan oleh cuti umum dan cuti sekolah yang berlaku pada bulan Jun berbanding Julai. 

“Walaupun terdapat penurunan, jumlah penumpang domestik masih mencapai 4.6 juta, menunjukkan peningkatan 7.4 peratus tahun ke taun dan berada pada 94.8 peratus daripada paras Julai 2019,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata, industri penerbangan Malaysia kekal berada pada landasan kukuh untuk mencapai pemulihan sepenuhnya menjelang 2025.

Katanya, ini dipacu oleh permintaan antarabangsa yang teguh, kesalinghubungan strategik serta inisiatif kerajaan yang mempertingkat kemudahan perjalanan. 

“Trajektori positif ini turut diperkuat melalui rasionalisasi fungsi ekonomi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) di bawah CAAM, yang mewujudkan kerangka kawal selia penerbangan awam negara yang lebih mantap dan bersepadu. 

“Langkah ini mencerminkan komitmen kami untuk mengekalkan pertumbuhan dan daya tahan sektor penerbangan Malaysia sambil menegakkan amalan terbaik global, kecemerlangan kawal selia dan menggalakkan inovasi melalui kerjasama strategik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN