THMY Holdings sasar raih RM44.6 juta melalui IPO di Pasaran ACE - Utusan Malaysia

THMY Holdings sasar raih RM44.6 juta melalui IPO di Pasaran ACE

OOI Can Nix (tiga dari kiri) bersama barisan Affin Hwang Investment Bank Berhad semasa majlis pelancaran prospektus di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: THMY Holdings Berhad (THMY), penyedia penyelesaian ujian automatik bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), menyasarkan untuk meraih hasil kasar sebanyak RM44.6 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 23 Oktober ini.

IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 143.9 juta saham biasa baharu, mewakili sebahagian daripada modal saham terbitan diperbesarkan kumpulan tersebut.

Daripada jumlah hasil berkenaan, sebanyak 58.1 peratus akan digunakan bagi pembinaan kilang baharu, manakala 11.7 peratus diperuntukkan untuk mengurangkan pinjaman bank. 

Selain itu, sebanyak 8.3 peratus untuk pembelian mesin dan peralatan baharu, modal kerja (6.9 peratus) serta aktiviti reka bentuk dan pembangunan (D&D) serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) (4.3 peratus) manakala baki dana akan digunakan untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif THMY, Ooi Can Nix berkata, pelancaran prospektus IPO itu merupakan detik penting selepas 17 tahun kumpulan beroperasi dalam industri berkenaan.

“Bermula dari sebuah pejabat kecil di Perai, Pulau Pinang, kami kini berkembang menjadi rakan kongsi global dipercayai dalam penyelesaian ujian automatik, dengan 40 pelanggan multinasional (MNC) setakat tahun kewangan berakhir 2025. 

“Hasil IPO ini akan memperkukuh fasa pertumbuhan baharu termasuk pembinaan kilang, pembelian mesin dan peningkatan keupayaan D&D dan R&D, sekali gus menyokong sasaran eksport produk E&E negara bernilai RM1 trilion menjelang 2030,” katanya pada majlis pelancaran prospektus syarikat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Can Nix berkata, prospek industri E&E dijangka terus berkembang pesat dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Ketika ini segmen E&E sangat rancak terutama dalam infrastruktur rangkaian pusat data. Berbanding beberapa tahun lalu, industri kini memasuki era baharu dengan pertumbuhan signifikan. Kami yakin dapat menyokong hala tuju ini dengan asas perniagaan yang kukuh,” katanya.

Mengulas mengapa Thailand muncul sebagai pasaran terbesar kumpulan, beliau berkata, faktor itu berkait rapat dengan pelaksanaan strategi China Plus One pasca pandemik.

“Banyak produk berteknologi tinggi dipindahkan ke Thailand untuk tujuan pembuatan. Kami sudah lebih 15 tahun menubuhkan operasi di sana, sekali gus membina reputasi kukuh dalam pasaran berkenaan,” jelasnya.

Tambah beliau, projek berkaitan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) kini menyumbang antara 20 hingga 25 peratus kepada jumlah projek kumpulan. 

“Segmen ini dijangka menjadi penyumbang utama dalam laporan kewangan beberapa tahun akan datang,” katanya. 

Tempoh permohonan IPO akan ditutup pada 9 Oktober ini dan kumpulan dijangka disenaraikan pada 23 Oktober.

Affin Hwang Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan tunggal bagi IPO ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN