PETALING JAYA: Sektor semikonduktor negara berisiko menerima impak jika dikenakan tarif tinggi daripada Amerika Syarikat (AS), berikutan industri tersebut bergantung dan disepadukan secara mendalam ke dalam rantaian bekalan global, kata TA Research.
Penganalisisnya, Chan Mun Chun berkata, Malaysia adalah satu daripada enam pengeksport semikonduktor terbaik dunia, menyumbang kira-kira tujuh peratus daripada eksport global dan kira-kira 13 peratus daripada pasaran pemasangan, ujian dan pembungkusan global.
“Pada tahun 2024, negara mengeksport kira-kira RM120.0 bilion produk elektrik dan elektronik (E&E) ke AS, mewakili sekitar 20 peratus daripada jumlah eksport E&E.
“Semikonduktor merangkumi RM60.6 bilion daripada angka itu, menonjolkan peranan strategik sektor itu dalam perdagangan Malaysia-AS.
“Oleh itu, tarif yang tinggi boleh menjejaskan prestasi eksport Malaysia kerana tarif yang lebih tinggi akan meningkatkan kos pengeluaran, sebahagian daripadanya mungkin diserahkan kepada pelanggan, akhirnya memberi kesan pada permintaan,” katanya dalam nota penyelidikan.
Presiden AS, Donald Trump memberi bayangan untuk mengenakan tarif ‘agak besar’ ke atas import semikonduktor tidak lama lagi, namun menyatakan pengecualian mungkin diberikan kepada syarikat yang memindahkan pengeluaran ke AS atau merancang untuk melabur dalam kemudahan pembuatan domestik.
Semikonduktor pada masa ini dikecualikan daripada tarif timbal balik.
Awal tahun ini, Jabatan Perdagangan memulakan siasatan Seksyen 232 ke atas import semikonduktor, memetik potensi risiko keselamatan negara.
Trump pada mulanya mencadangkan tarif 100 peratus sebelum kemudian menaikkan kemungkinan kadar antara 200 peratus hingga 300 peratus.
Bagaimanapun, Mun Chun berkata, pihaknya percaya impak tarif mungkin kurang teruk daripada jangkaan awal kerana kira-kira 65 peratus daripada eksport semikonduktor Malaysia ke AS datang daripada firma AS yang beroperasi di Malaysia yang mungkin layak untuk pengecualian.
“Secara amnya, kami percaya terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa kebanyakan syarikat multinasional utama yang berpangkalan di AS mempunyai kekuatan kewangan dan keupayaan untuk melabur di AS bagi mengurangkan kesan tarif semikonduktor ini.
“Selain itu, kami menjangkakan lebih banyak pengecualian bersyarat akan diperkenalkan dari masa ke semasa, memandangkan kerumitan dan saling bergantung rantaian bekalan semikonduktor global.
“Secara keseluruhannya, kami percaya adalah amat sukar bagi AS untuk menghantar pulang sepenuhnya rantaian nilai semikonduktor dalam tempoh terdekat kerana membina ekosistem yang serba lengkap mungkin mengambil masa beberapa dekad,” jelasnya. – UTUSAN










