S&P Global jangka pertumbuhan pinjaman bank sederhana

S&P Global jangka pertumbuhan pinjaman bank Malaysia sederhana

BANK-BANK Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan pinjaman antara empat hingga lima peratus dalam dua tahun akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: S&P Global Ratings mengunjurkan sektor perbankan mengalami penyusutan dalam pertumbuhan keseluruhan pinjaman iaitu antara empat hingga lima peratus dalam tempoh dua tahun akan datang, berbanding 5.5 peratus pada 2024.

Menurut laporan baharunya, ini sebahagian besarnya disebabkan oleh penurunan dalam permintaan pinjaman korporat kerana perniagaan menangguhkan rancangan perbelanjaan di tengah-tengah ketidaktentuan luaran. 

“Bagaimanapun, pembiayaan korporat juga sedang dialihkan ke arah pasaran bon disebabkan kadar yang lebih rendah.

“Sebaliknya, kredit runcit dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan permintaan kekal stabil pada anggaran lima hingga enam peratus setiap tahun. 

“Ini disokong oleh segmen pinjaman perumahan dan kereta yang kukuh, disokong oleh kadar pekerjaan yang sihat dan kenaikan gaji,” katanya dalam kenyataan.

Firma penarafan berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Malaysia (KDNK) Malaysia menjadi sederhana kepada 4.2 peratus hingga 4.5 peratus antara tahun ini hingga 2027, turun daripada 5.1 peratus pada 2024.

Katanya, kelembapan ini disebabkan terutamanya oleh perdagangan dan pelaburan yang lebih lemah, dengan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan tarif 19 peratus ke atas eksport Malaysia, yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada KDNK negara. 

Walaupun begitu, katanya, permintaan dalam negeri yang mampan dijangka dapat mengurangkan beberapa kesan negatif.

“Sektor perbankan Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menangani tekanan luar daripada ketegangan perdagangan global dan kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi.

“Bank-bank Malaysia beroperasi daripada kedudukan yang kukuh, disokong oleh pasaran buruh negara yang teguh dan kewangan isi rumah yang stabil,” ujarnya.

S&P Global menjangka bank-bank Malaysia mengekalkan keuntungan yang baik, dengan pulangan atas aset (ROA) diunjurkan kekal pada kira-kira 1.4 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang.

Jelasnya, walaupun pemotongan kadar faedah baru-baru ini dan penurunan keperluan rizab berkanun oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin memberi kesan kepada margin faedah bersih (NIM), bank yang mempunyai asas deposit runcit yang kukuh dan kecekapan operasi lebih bersedia untuk mengurusnya.

“Persaingan daripada bank digital juga semakin sengit, dengan pemain baharu ini menawarkan deposit simpanan berfaedah tinggi.

“Walaupun bahagian pasaran mereka kekal kecil (di bawah satu peratus), mereka telah menyumbang kepada kenaikan kos deposit, terutamanya yang menjejaskan bank konvensional bersaiz sederhana.

“Sebagai tindak balas, bank secara aktif menguruskan kos pendanaan mereka dengan memanfaatkan pasaran borong dan memberi tumpuan kepada aliran pendapatan bukan faedah, seperti pengurusan kekayaan dan pertukaran asing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN