SME Corp. Malaysia, microLEAP tawar pembiayaan geran RM35j

SME Corp. Malaysia, microLEAP tawar pembiayaan geran RM35j kepada PKS

TUNKU DANNY NASAIFUDDIN MUDZAFFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Corp. Malaysia memperuntukkan RM35 juta menerusi Program Pembiayaan Alternatif BAP 2025 yang menawarkan pembiayaan berlandaskan syariah sehingga RM400,000 kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) yang layak.

Menurut kenyataannya, skim itu pada kadar keuntungan kompetitif 3.5 peratus setahun, dengan kemungkinan sehingga 40 peratus daripada pembiayaan tersebut ditukar kepada geran.

microLEAP, sebuah platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) patuh syariah yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah dilantik sebagai pengantara pembiayaan di bawah program ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, program ini mencerminkan komitmennya untuk menilai semula sokongan kepada PKS, bukan sekadar melalui pembiayaan, tetapi dengan mengintegrasikan insentif yang mengiktiraf disiplin kewangan dan pertumbuhan perniagaan. 

“Dengan membolehkan penukaran sehingga 40 peratus kepada geran, kami bukan sahaja mengurangkan beban bayaran balik, malah melabur secara langsung dalam masa depan PKS berpotensi tinggi di Malaysia yang bersedia untuk berkembang.

“Ini sejajar dengan sasaran kami untuk meningkatkan bilangan perusahaan kecil menjadi sederhana daripada 1.6 peratus kini kepada lima peratus menjelang 2030,” katanya.

Dengan tambahan peruntukan daripada SME Corp. Malaysia, jumlah dana yang diperuntukkan di bawah kerjasama dengan microLEAP sejak 2021 kini mencecah RM70 juta. 

Ia mencerminkan kerjasama yang semakin matang berasaskan matlamat bersama, memperkasa pertumbuhan PKS, memperkukuh keterangkuman kewangan serta menyediakan pilihan alternatif pembiayaan, khususnya bagi perniagaan yang kurang mendapat akses daripada pemberi pinjaman tradisional.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif microLEAP, Tunku Danny Nasaifuddin Mudzaffar berkata, program ini terhasil daripada mendengar suara pemilik perniagaan kecil, cabaran pasaran serta hala tuju dasar. 

Katanya, pihaknya percaya pembiayaan tidak seharusnya sekadar mudah diakses dan mampu milik, tetapi juga perlu memberi ganjaran kepada disiplin kewangan yang baik. 

“Melalui kerjasama dengan SME Corp. Malaysia, kami berbangga menawarkan produk pembiayaan yang menepati hasrat itu. 

“Kami sentiasa percaya bahawa PKS tidak sepatutnya perlu mengemukakan tiga tahun akaun beraudit atau cagaran untuk mendapatkan pembiayaan. Jika mereka menjana hasil, berkembang dan mampu membayar balik, kami akan hadir menyokong mereka,” jelasnya.

Program ini menawarkan bantuan untuk modal kerja dan penambahbaikan perniagaan, termasuk pembelian mesin dan peralatan, penerapan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), pensijilan produk, pengiklanan dan promosi serta penerapan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

Hanya PKS dengan rekod pembayaran balik yang baik layak memohon penukaran geran sehingga 40% daripada pembiayaan mereka, tertakluk kepada kelulusan SME Corp. Malaysia.

PKS di Malaysia mewakili lebih 96 peratus daripada keseluruhan perniagaan, namun ramai yang masih kurang mendapat layanan daripada sistem kewangan tradisional. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN